Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) turun untuk semua kategori kecuali motosikal dalam tender terkini pada 4 Jun.

Premium Kategori A – yang merangkumi kereta serta kenderaan elektrik (EV) lebih kecil dan kurang berkuasa – mencatat penurunan terbesar, iaitu 5.4 peratus kepada $96,999, berbanding $102,501 pada tender sebelum ini.

Bagi Kategori B, yang terdiri daripada kereta serta EV lebih besar dan lebih berkuasa, harga premium adalah $113,000 – turun 3.4 peratus dari $116,988 yang dicatat pada tender 21 Mei.

Ini adalah kali kedua berturut-turut harga COE untuk kereta menyaksikan penurunan, meskipun premium masih lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2024, lapor The Straits Times (ST).

Harga COE Kategori Terbuka (Kategori E) ialah $113,900, turun 3.5 peratus daripada $118,010 pada tender sebelum ini.

Walaupun sijil Kategori Terbuka boleh digunakan untuk mendaftarkan mana-mana jenis kenderaan kecuali motosikal, ia biasanya digunakan untuk kereta lebih besar dan berkuasa tinggi.

Premium COE bagi kenderaan komersial (Kategori C), adalah $62,000 – turun 1.9 peratus daripada $63,189 sebelum ini.

Premium COE motosikal (Kategori D) pula mencatat trend berbeza apabila naik 3.4 peratus kepada $9,000, berbanding $8,707 sebelum ini.