Singapura mahu mengurangkan jejak karbon sektor tenaganya, dengan sasaran baru mengimport 6 gigawatt (GW) elektrik rendah karbon dari negara jirannya menjelang 2035.
Ini adalah peningkatan 50 peratus daripada sasaran sebelumnya iaitu 4GW, yang ditetapkan pada 2021.
Import elektrik dijangka membentuk kira-kira satu pertiga daripada keperluan tenaga negara ini menjelang 2035, dan operasi komersial di bawah beberapa kontrak import ini boleh bermula dari 2028, kata Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada 5 September.
Singapura kini bergantung pada gas asli, bahan api fosil, untuk sekitar 95 peratus daripada penjanaan elektriknya.
Kira-kira 40 peratus daripada pelepasan karbon negara ini datang daripada sektor tenaga, lapor The Straits Times.
EMA berkata ia memutuskan untuk meningkatkan sasaran importnya kerana “minat mendalam oleh pihak yang boleh dipercayai untuk menyertai projek import elektrik, dan untuk memastikan bekalan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan tenaga masa depan Singapura”.
Menjelang akhir 2023, Singapura berada dalam peringkat penerokaan bagi perjanjian import elektrik baru dengan firma di Indonesia, Kemboja dan Vietnam untuk mengimport 4.2GW elektrik, yang sudah melebihi sasaran awal.
Terdapat tiga peringkat sebelum sesebuah syarikat diberikan lesen import elektrik daripada EMA.
Peringkat pertama memerlukan firma mendapat “kelulusan bersyarat” daripada EMA, yang bermaksud bahawa pengawal selia telah mendapati bahawa cadangan projek itu berdaya maju dari segi teknikal dan komersial.
Pada peringkat ini, firma itu akan memulakan tinjauan lanjut dan kajian kebolehlaksanaan.
Jika mereka dapat menunjukkan keupayaan memenuhi keperluan kedua-dua negara tuan rumah dan Singapura, EMA kemudian akan menganugerahkan mereka dengan lesen bersyarat.
Ini diberikan kepada projek yang didapati berdaya maju dari segi teknikal dan komersial, dan berada dalam peringkat pembangunan lanjutan, tambah agensi itu.
Langkah ketiga dan terakhir ialah apabila EMA memberi lesen pengimport kepada syarikat berkenaan.
Pada peringkat ini, syarikat itu mesti mendapatkan kelulusan kawal selia yang berkaitan dan mendapatkan semua pembiayaan yang diperlukan untuk projek mereka, sama ada ladang kincir angin atau medan suria.
Syarikat-syarikat juga boleh memulakan kerja pembinaan dan komersial pada peringkat ini.
Pada 5 September, EMA mengumumkan semasa Forum Kelestarian Antarabangsa Indonesia di Jakarta bahawa ia telah memberikan lesen bersyarat kepada lima projek di Indonesia.
Firma-firma itu – termasuk Pacific Medco Solar Energy dan Keppel Energy – adalah yang pertama mencapai tahap kedua proses import elektrik.
Lima firma itu, yang telah mencadangkan projek solar, telah dianugerahkan dengan kelulusan bersyarat pada September 2023.
EMA berkata lima syarikat itu meletakkan sasaran untuk memulakan operasi komersial mulai 2028.
Lima projek itu akan menghantar 2GW tenaga lebih hijau ke Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg