Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pastikan flat HDB mampu milik, bekalan cukup keutamaan pemerintah

Hong Tat sifatkan isu sebagai penting, mahu bantu tangani secara menyeluruh
May 28, 2025 | 4:39 PM
flat, BTO, Chee Hong Tat
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat (depan, kiri), berkata kementeriannya akan terus memastikan bekalan flat BTO baru mencukupi, meneruskan usaha mantan menteri pembangunan negara, Encik Desmond Lee. - Foto ZAOBAO

Memastikan flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kekal mampu milik adalah salah satu keutamaan pemerintah, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

“Isu ini penting bagi saya dan kementerian. Kami mahu bantu tanganinya secara menyeluruh,” kata Encik Chee kepada wartawan pada 28 Mei, lima hari selepas memegang portfolio Pembangunan Negara.

Encik Chee mengaitkan kenaikan harga flat jualan semula dengan pandemik Covid-19, yang melambatkan pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan menyebabkan sebahagian pembeli rumah beralih ke pasaran jualan semula, lapor The Straits Times (ST).

Beliau menjangkakan harga jualan semula menurun pada tahun-tahun akan datang apabila lebih banyak flat mencapai tempoh penginapan minimum (MOP) mereka mulai 2026. 

Sekitar 13,500 flat dijangka mencapai MOP mereka pada 2026, meningkat daripada 8,000 pada 2025. Pada 2028, angka itu dijangka meningkat kepada 19,500 flat.

Sejak Oktober 2024, flat BTO Standard mempunyai MOP lima tahun, yang memerlukan pemilik tinggal secara fizikal di unit tersebut sebelum ia boleh dijual semula. Flat Plus dan Prime mempunyai MOP 10 tahun.

Encik Chee, yang baru dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara pada 23 Mei, berkata demikian semasa lawatan ke projek BTO Toa Payoh Ridge di GRC Bishan-Toa Payoh. 

Beliau menambah, kementeriannya akan terus memastikan bekalan flat BTO baru mencukupi, meneruskan usaha mantan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Contohnya, HDB telah melebihi sasaran melancarkan 100,000 flat BTO dari 2021 hingga 2025.

HDB juga dijangka menyerahkan kunci kepada 19,000 isi rumah pada 2025, dengan 7,000 isi rumah sudah menerima kunci setakat ini, tambahnya.

Encik Chee, mantan Menteri Pengangkutan, berharap dapat membantu penduduk BTO baru, termasuk yang jauh dari pusat bandar, supaya pengalaman mereka berpindah masuk lebih baik.

Beliau turut memberi keutamaan kepada usaha memperbaharui kawasan HDB lama agar menjadi “rumah yang selesa untuk penduduk dari semua peringkat umur”.

Beliau merujuk kepada program Remaking Our Heartland yang memperbaharui kawasan lama supaya kejiranan menjadi lebih mampan dan segar, serta Program Silver Upgrading yang menambah baik kemudahan mesra warga emas di kawasan yang pernah dinaik taraf.

Mengenai isu susut nilai pajakan HDB dan Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (Vers), Encik Chee berkata mereka akan mengkaji perkara itu dengan teliti dan berkongsi maklumat lanjut pada masa sesuai.

Susut nilai pajakan bermaksud nilai flat berkurang apabila tempoh pajakan 99 tahun hampir tamat. 

Vers yang dicadangkan akan membolehkan pemilik flat berumur 70 tahun ke atas mengundi sama ada pemerintah boleh membeli balik rumah mereka sebelum tamat tempoh pajakan.

Encik Chee juga berkata cara mengatasi kenaikan harga flat ialah dengan menambah bekalan BTO dan memberi masa kepada pasaran menyesuaikan diri selepas MOP 2026.

Harga jualan semula HDB naik 1.6 peratus pada suku pertama 2025, pertumbuhan paling perlahan sejak suku keempat 2023 (1.1 peratus).

Namun pada April, 141 flat jualan semula bernilai sekurang-kurangnya $1 juta, rekod tertinggi bulanan menurut data SRX dan 99.co.

Encik Chee berkata langkah penyejukan September 2022 – tempoh menunggu 15 bulan untuk pemilik hartanah privet beli flat jualan semula – bukan langkah kekal.

“Saya harap apabila keadaan bertambah baik, kita boleh kaji semula atau buang sekatan ini,” katanya.

Sejak langkah itu, bilangan pemilik hartanah privet yang membayar harga tinggi untuk flat HDB menurun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg