Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarat beli flat jualan semula bagi pemilik rumah privet mungkin dilonggar sebelum 2027

Hong Tat: Bekalan flat jualan semula meningkat mulai 2026; HDB akan lancar lebih banyak BTO
Jun 21, 2025 | 7:30 PM
Menteri Pembangunan Negara Encik Chee Hong Tat, menyertai sama permainan di acara masyarakat PA Family PLAYGround 2025 di Kelab Masyarakat Toa Payoh West pada 21 Jun.
Menteri Pembangunan Negara Encik Chee Hong Tat, menyertai sama permainan di acara masyarakat PA Family PLAYGround 2025 di Kelab Masyarakat Toa Payoh West pada 21 Jun. - Foto ST

Tempoh menunggu bagi pemilik hartanah privet yang ingin berpindah ke flat jualan semula mungkin dilonggarkan sebelum 2027, dengan jangkaan peningkatan dalam bekalan flat baru dan jualan semula.

Bercakap di acara masyarakat Toa Payoh pada 21 Jun, Menteri Pembangunan Negara Encik Chee Hong Tat berkata bekalan rumah flat jual semula dijangka meningkat mulai 2026, sedang kumpulan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 mencecah tempoh penginapan minimum (MOP) lima tahun mereka.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) juga akan melancarkan lebih 50,000 unit dari 2025 hingga 2027.

Encik Chee berkata beliau jangkakan bahawa kesan bekalan berterusan yang kukuh bagi flat BTO baru dan unit jualan semula akan meredakan kenaikan harga jualan semula, menjadikannya tepat pada masa bagi pihak berkuasa mempertimbangkan sama ada menarik balik sebahagian atau keseluruhan langkah penyejukan selama 15 bulan itu.

Beliau menambah bahawa pemilik hartanah privet mungkin tidak perlu menunggu sehingga 2027 atau 2028 untuk semakan kepada syarat menunggu itu, yang diperkenalkan pada September 2022.

“Jadi itulah sebabnya saya berkata (ini akan dipertimbangkan) pada masa yang sesuai, apabila pasaran jualan semula telah stabil, dan apabila bekalan rumah flat jual semula meningkat, yang kami fikir akan berlaku dalam beberapa tahun akan datang, kerana tahun ini sebenarnya adalah tahun perubahan itu akan berlaku,” katanya.

Indeks harga jualan semula HDB meningkat 1.6 peratus pada suku pertama 2025, berbanding kenaikan 2.6 peratus pada suku keempat 2024. Ia merupakan pertumbuhan terendah dalam lima suku terakhir.

Bercakap kepada pemberita di luar acara PA Family PLAYGround yang diadakan di Kelab Masyarakat Toa Payoh West, Encik Chee berkata sudah ada tanda-tanda awal penstabilan harga dalam pasaran jualan semula flat HDB.

“Kami akan terus memantau. Saya fikir jika keadaan terus bertambah baik, maka ia akan membolehkan kami membuat keputusan bila kami boleh menariknya balik, sama ada sebahagian atau keseluruhannya, bagi syarat (tempoh) 15 bulan itu,” tambahnya.

Encik Chee berkata (beliau) cenderung untuk menarik baliknya sama sekali.

“Kami belum membuat sebarang keputusan lagi, tetapi pandangan saya sendiri ialah jika keadaan membenarkan kita menarik baliknya sama sekali, saya fikir kita harus mempertimbangkannya,” katanya lagi.

Encik Chee mengakui bahawa syarat 15 bulan itu menimbulkan sedikit kesulitan bagi pemilik hartanah privet yang ingin membeli flat jualan semula HDB, tetapi beliau berkata objektif langkah penyejukan itu kekal sah.

“Kami mahu memastikan harga purata flat jualan semula tidak meningkat terlalu cepat dan menjadi tidak mampu dibeli oleh pembeli, terutama pembeli kali pertama, yang ingin memasuki pasaran jualan semula,” katanya.

“Saya fikir itu adalah objektif penting yang mesti kita jaga.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg