Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga jualan semula flat HDB naik 0.4% pada suku ketiga

Kenaikan harga adalah paling rendah sejak suku kedua 2020
Oct 1, 2025 | 4:00 PM
HDB, jualan semula, suku ketiga, 2025
Bilangan rumah jualan semula yang terjual pada suku ketiga 2025, menurun 10.9 peratus berbanding suku ketiga 2024, daripada 8,035 unit kepada 7,157 unit. - Foto fail

Harga rumah jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat pada kadar lebih perlahan iaitu 0.4 peratus pada suku ketiga.

Ini merupakan suku keempat berturut-turut pertumbuhan harga flat jualan semula semakin perlahan.

Pada suku kedua, harga tersebut meningkat 0.9 peratus.

Harga pasaran rumah privet pula meningkat sebanyak 1.2 peratus pada suku ketiga, berbanding pertumbuhan 1 peratus pada suku sebelumnya, lapor The Straits Times (ST).

Anggaran awal menunjukkan kenaikan harga dari suku ke suku, bagi suku ketiga ini adalah paling rendah sejak suku kedua 2020, kata HDB dalam satu kenyataan pada 1 Oktober.

Harga rumah awam jualan semula telah meningkat secara berterusan setiap suku sejak suku kedua 2020, selepas pandemik Covid-19 menyebabkan penangguhan dalam pembinaan rumah Bina Ikut Tempahan (BTO) dan mengehadkan bekalan perumahan awam.

Bilangan rumah jualan semula yang terjual pada suku ketiga 2025, menurun 10.9 peratus berbanding suku ketiga 2024, daripada 8,035 unit kepada 7,157 unit.

Ketua penyelidikan dan kandungan di agensi hartanah PropNex Realty, Cik Wong Siew Ying, berkata pertumbuhan harga rumah jualan semula HDB yang lebih sederhana mungkin didorong oleh langkah yang diambil pihak berkuasa untuk menangani isu permintaan dan bekalan.

Bekalan rumah baru – termasuk projek di lokasi menarik – membantu dalam memenuhi permintaan perumahan awam dan menarik sebahagian pembeli daripada pasaran jualan semula HDB, tambah Cik Wong.

Suku ketiga 2025 turut mencatatkan sebanyak 480 urus niaga rumah bernilai lebih sejuta dolar, meningkat daripada 415 urus niaga sebegitu pada suku kedua.

Sekitar 90 peratus daripada urus niaga tersebut terletak di bandar seperti Toa Payoh, Bukit Merah dan Kallang/Whampoa, menurut pengarah kanan analitik data di agensi hartanah Huttons Asia, Encik Lee Sze Teck.

Lebih separuh daripada urus niaga flat bernilai lebih sejuta dolar di Toa Payoh terletak di kawasan seperti Bidadari dan Lorong 1 Toa Payoh, di mana flat-flat itu baru sahaja mencapai tempoh penginapan minimum (MOP), tambah Encik Lee. 

Bilangan urus niaga flat bernilai lebih sejuta dolar dari Januari hingga September sebanyak 1,243, telah melepasi rekod 1,035 urus niaga bagi keseluruhan 2024.

Cik Wong menjangkakan pasaran jualan semula HDB akan menyederhana pada suku terakhir 2025.

Namun, menurut beliau, harga flat jualan semula di lokasi strategik – seperti berada di tingkat tinggi dan berhampiran kemudahan – akan kekal tinggi kerana permintaan kukuh bagi flat sebegini.

Sementara itu, bagi rumah privet, jumlah urus niaga meningkat sekitar 29 peratus pada suku ketiga, naik kepada 6,594 unit daripada 5,128 unit pada suku sebelumnya.

Peningkatan ini sejajar dengan pertambahan bilangan unit yang dilancarkan untuk dijual, jelas Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Harga hartanah bukan berhalaman pula meningkat 1.1 peratus pada suku ketiga, lebih pantas berbanding kenaikan 0.7 peratus pada suku sebelumnya.

Menurut HDB dan URA, pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura dijangka menyederhana pada separuh kedua 2025, sambil menambah bahawa terdapat juga tanda-tanda awal pengurangan permintaan tenaga kerja berikutan pertumbuhan ekonomi yang lembap.

“Memandangkan prospek makroekonomi yang sangat tidak menentu, isi rumah harus terus berhati-hati ketika membeli hartanah dan mengambil pinjaman gadai janji,” kata HDB dan URA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg