Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarga minyak naik: Pemandu PHV bimbang pendapatan terjejas jika kos terus meningkat
Pemerintah mungkin diminta sediakan satu lagi pusingan bantuan kepada sektor pengangkutan susuli krisis terbaharu Timur Tengah yang kian meruncing
Harga minyak naik: Pemandu PHV bimbang pendapatan terjejas jika kos terus meningkat
Kenaikan harga petrol yang terkini selepas tempoh dua bulan yang agak stabil kembali menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemandu, terutamanya pemandu kereta sewa privet (PHV).
Mereka yang dihubungi Berita Harian (BH) meluahkan rasa risau pendapatan mereka mungkin terjejas sekiranya harga minyak terus meningkat.
Harga petrol di syarikat peruncit utama di sini melonjak antara 8 hingga 12 sen seliter pada 14 September, sekali gus menamatkan tempoh kestabilan sepanjang dua bulan lalu berikutan konflik di Timur Tengah yang kian memuncak sehingga menjejas pasaran tenaga global.
Berdasarkan data di aplikasi Price Kaki oleh Persatuan Pengguna Singapura, harga diesel – bahan api yang digunakan sebahagian besarnya bagi kenderaan komersial dan bas – melonjak melebihi paras $4 seliter di semua jenama utama buat kali pertama sejak akhir Jun lalu.
Misalnya, Caltex, Esso dan Shell kini mengenakan harga tertinggi sebanyak $4.07 seliter bagi diesel, lebih tinggi berbanding harga $3.95 seliter pada 13 September.
Sementara itu, minyak 95-oktana, yang digunakan bagi majoriti kereta penumpang, kini berharga $3.49 seliter di Caltex, Esso dan Shell – naik daripada $3.37 seliter pada 13 September.
Beberapa pemandu PHV yang dihubungi BH mengetengahkan kebimbangan perlu menanggung harga petrol yang lebih tinggi dengan kenaikan kos itu, walaupun ada antara mereka – yang memenuhi kriteria kelayakan syarikat platform – menikmati diskaun setiap kali mereka mengisi minyak.
“Walaupun ada diskaun, jika harga minyak naik, ia bermakna saya tak dapat jimat banyak. Harga minyak naik, tambang pula kecil – memang tak dapat cover kenaikan harga,” kata Encik Isham Salim, pemandu Tada berusia 54 tahun.
Pemandu Grab, Encik Effendy Hamsah, 49 tahun, pula berkata meskipun terdapat diskaun dan baucar, beliau menjangkakan kos mengisi separuh tangki petrol akan meningkat daripada sekitar $38 kepada $40 hingga $50, sekali gus mengembalikan perbelanjaan pemandu “ke tahap asal”.
Pemandu PHV yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Iza sahaja pula berkongsi bahawa kesan penuh kenaikan harga yang terkini mungkin belum terasa sepenuhnya, namun beliau mungkin akan perlu bekerja sekitar sejam lebih lama jika ia menjejas pendapatannya.
“Saya reda sahaja… saya gunakan kereta hibrid, mungkin kesannya tidak seteruk kereta yang bergantung pada petrol sepenuhnya, tetapi mungkin saya perlu kerja tambahan satu jam untuk cover duit minyak yang meningkat,” kata beliau.
Pemandu limosin, Encik Mohamad Azan Salleh, 58 tahun, pula berkata:
“Tentunya kali ini akan menjejas pendapatan. Jadi sekarang kita perlu lebih ‘bijak’ bekerja. Contohnya, kami akan matikan enjin sementara tunggu tetamu atau penumpang, dan gunakan kipas mudah alih dan bukan hawa dingin supaya dapat kurangkan penggunaan petrol.”
Encik Isham berharap pemerintah dapat menyediakan bantuan, contohnya, subsidi minyak khusus bagi pemandu PHV dan pekerja penghantaran, manakala Encik Azan pula berharap pemerintah dapat mempertimbangkan rebat cukai jalan raya untuk pemandu.
Sebelum ini, pemerintah telah mengumumkan pakej sokongan untuk rakyat, termasuk bantuan tunai $200 kepada pekerja platform, pemandu kereta sewa privet dan pemandu teksi, berikutan kenaikan harga petrol yang lebih awal pada sekitar Mac dan April di tengah-tengah konflik Timur Tengah.
Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata harga minyak dijangka kekal tinggi untuk tempoh yang agak lama memandangkan sektor tenaga terus terjejas akibat cengkaman ketidakpastian geopolitik yang tidak menunjukkan tanda-tanda reda.
Walaupun jika konflik di Timur Tengah berakhir, harga minyak dijangka kekal tinggi bagi tempoh enam hingga 12 bulan, memandangkan bekalan minyak tidak akan pulih dengan serta-merta akibat kerosakan pada prasarana tenaga di rantau tersebut.
Oleh itu, pemerintah mungkin diminta menyediakan satu lagi pusingan bantuan kepada sektor pengangkutan darat bagi membantu pemandu teksi, pemandu kereta sewa privet dan pekerja penghantaran, tambah beliau.
“Gelombang krisis kelihatan semakin menghampiri: inventori minyak yang rendah, kapasiti penapisan yang terhad, serta peningkatan permintaan bermusim, memandangkan musim sejuk bakal tiba beberapa bulan lagi.
“Semakin lama gangguan ini berlarutan, semakin lama harga bahan api akan kekal tinggi, malah mungkin lebih tinggi daripada kadar semasa,” kata beliau.
“Hakikatnya, pengurangan bekalan minyak dari Timur Tengah serta serangan Ukraine ke atas pusat penapisan minyak Russia semakin menghimpit pasaran produk yang telah ditapis seperti diesel.
“Keadaan ini merupakan satu tamparan hebat secara bertubi-tubi, diharap konflik ini tidak terus memuncak sehingga menjadi sebuah ‘perang berpanjangan’,” tambahnya.
