Hati, minda, dan tangan.
Jika kita menumpukan perhatian dan menunjukkan kasih sayang terhadap pekerja kita (hati), sambil membuka minda untuk menerima pendapat dan pendekatan yang berbeza (minda), serta gigih berusaha (tangan), kita akan dapat capai tangga kejayaan.
Demikian dikongsi Encik Shafie Shamsuddin, pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2010 yang juga penceramah keenam dan terakhir bagi Siri Jauhari BH pada 22 Oktober.
Encik Shafie, 53 tahun, yang berkongsi pengalaman beliau sejak di bangku sekolah hingga menjadi Pengarah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat runcit terbesar di Indonesia, PT. Trans Retail Indonesia, merupakan sumber inspirasi bagi sekitar 60 belia berusia antara 18 dengan 35 tahun di kafe working title di Maktab Seni Lasalle.
PT. Trans Retail Indonesia mempunyai hampir 100 pasar raya pelbagai jenama seperti TRANSmart dan Multimart di 28 bandar serata Indonesia.
Peserta yang hadir dapat mendengar kisah Encik Shafie yang membesar dengan sederhana bersama ibu bapa dan dua adiknya di sebuah flat di Queenstown.
Sebagai pelajar, Encik Shafie yang sebelum ini mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Perancis, Carrefour Group, berkata beliau bukanlah yang paling cerdik, kerana terpaksa mengulangi setahun semasa di Maktab Rendah Jurong.
Bagi Encik Zamiq Azmeer Borhanudin, peserta yang ditemui BH selepas sesi tersebut, mendengar bagaimana Encik Shafie memerlukan setahun tambahan sebelum menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ telah memberinya harapan, kerana beliau juga melalui pengalaman yang sama.
“Encik Shafie memberitahu saya bahawa sebenarnya jalan kehidupan kami hampir serupa kerana apa yang kami alami di maktab rendah.
“Namun, beliau memilih jalan untuk menjadi usahawan manakala saya pula mengambil keputusan untuk menjadi peguam.
“Saya diberikan kesempatan untuk bekerja untuknya apabila saya melalui program latihan amali atau internship bersama cabang Carrefour di Indonesia tetapi dalam jabatan guaman pada 2017.
“Di situ saya melihat bagaimana beliau melayan kakitangannya dengan penuh hormat dan kasih sayang.
“Beliau sampai mempelawa saya tinggal di rumahnya apabila saya katakan yang saya ingin sambung bekerja di Indonesia. Begitulah tahap keprihatinan yang ditunjukkkan Encik Shafie,” kongsi Encik Zamiq, 32 tahun, yang kini peguam komersial Asia-Pasifik di syarikat berbilang negara (MNC).
Encik Shafie turut menekankan kepentingan untuk membina daya tahan dalam diri dan memupuk kepimpinan dalam kalangan pasukan kita supaya dapat berkongsi beban dan tanggungjawab bersama.
Katanya: “Kita perlu belajar untuk memberi lebih daripada kita menerima”.
“Bukan itu sahaja, kita juga perlu belajar untuk menerapkan belas ihsan semasa bekerja.
“Sebagai contoh, mereka yang bekerja dalam bidang operasi akan membina kecekapan menggunakan tangan mereka.
“Bagi mereka yang berada di ibu pejabat, mereka perlu membuat keputusan berdasarkan analisis tetapi siapa yang akan dapat membuat keputusan dengan belas ihsan?
“Jika kita mengikut kata hati kita, ia akan menunjukkan kita ke jalan yang benar,” tambah Encik Shafie.
Pencerahan yang dikongsi beliau amat menyentuh perasaan Encik Muhammad Ibnur Rashad Zainal Abidin, 38 tahun, seorang lagi peserta yang berjaya mendapatkan iktibar daripada Encik Shafie.
Encik Muhammad Ibnur, yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Inovasi di makmal inovasi untuk kebaikan sosial dan alam sekitar, Grounds Up Innovation Lab for Development (Guild), berharap beliau dapat menerapkan apa yang dikongsi Encik Shafie dalam tugasan sehariannya.
“Saya setuju apabila Encik Shafie kata kekuatan kita adalah hati kita.
“Saya melihat sendiri apabila saya melawat serata Nusantara dan melihat cara mereka menjaga adab, adat dan budaya mereka, terutama sekali apabila mereka bertanya jika saya sudah makan atau belum.
“Namun adalah sukar untuk berbuat demikian kerana Encik Shafie menerangkan bahawa kita harus bersikap konsisten dalam melakukan tugas dengan ikhlas dan perlu sentiasa mengamalkannya.
“Apabila tiba masanya untuk merubah tabiat, Encik Shafie mencabar kami untuk memikirkan cara bagaimana kita dapat berbuat demikian agar dapat maju ke hadapan?
“Antara perkara yang saya ingin cuba terapkan dalam hidup saya ialah untuk lebih bersyukur dengan apa yang kita terima. Walaupun susah, kita perlu bersyukur dan bersabar,” kata Encik Muhammad Ibnur.
Sesi penutup tirai Siri Jauhari pada 22 Oktober turut dihadiri oleh Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How sebagai tetamu terhormat.
Encik Tan, yang juga pengerusi unit maklum balas pemerintah, Reach, yang menyokong Siri Jauhari, berkongsi dengan BH bahawa beliau amat mengalu-alukan sambutan baik yang diterima sejak siri tersebut bermula pada Mei.
Sesi yang diadakan sekali setiap bulan, memberikan ruang untuk mengundang pemimpin masyarakat yang tersohor untuk berkongsi perspektif mereka tentang perjalanan yang telah mereka lalui.
Ia juga peluang untuk memberi inspirasi bagi generasi muda sebagai pelapis masyarakat, kata Encik Tan.
“Saya amat berbesar hati dapat mendengar cadangan dan maklum balas yang dikongsi oleh belia yang hadir pada malam ini.
“Ia menunjukkan bagaimana belia kita sangat bertimbang rasa, berpengetahuan luas dan berfikiran terbuka.
“Yang penting, mereka mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan bersikap ingin tahu tentang bagaimana mereka dapat membina Singapura yang lebih baik untuk masa depan,” tambah Encik Tan.
“
“Kita perlu belajar untuk memberi lebih daripada kita menerima. Bukan itu sahaja, kita juga perlu belajar untuk menerapkan belas ihsan semasa bekerja.”“
“Saya setuju apabila Encik Shafie kata kekuatan kita adalah hati kita... Namun adalah sukar untuk berbuat demikian kerana Encik Shafie menerangkan bahawa kita harus bersikap konsisten dalam melakukan tugas dengan ikhlas dan perlu sentiasa mengamalkannya.”“
“Saya amat berbesar hati dapat mendengar cadangan dan maklum balas yang dikongsi oleh belia yang hadir pada malam ini. Ia menunjukkan bagaimana belia kita sangat bertimbang rasa, berpengetahuan luas dan berfikiran terbuka. Yang penting, mereka mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan bersikap ingin tahu tentang bagaimana mereka dapat membina Singapura yang lebih baik untuk masa depan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg