Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelbagai program dalam festival masyarakat Masjid Darul Makmur

Acara sempena pembukaan semula masjid padat dengan sesi rohani, isu kesihatan mental, belia dan hukum fiqah bagi pesakit serta penjaga
Jul 18, 2025 | 5:30 AM
Segmen ‘Forum Santunan Emas – Fiqh Pesakit’ dalam acara Festival Masyarakat 2025’ oleh Masjid Darul Makmur, akan dikendalikan oleh mantan Mufti Ustaz Dr Fatris Bakaram (berdiri), bersama Ustaz Jazair Jummat dan Ustaz Saiful Adli, pada 20 Julai. 
Segmen ‘Forum Santunan Emas – Fiqh Pesakit’ dalam acara Festival Masyarakat 2025’ oleh Masjid Darul Makmur, akan dikendalikan oleh mantan Mufti Ustaz Dr Fatris Bakaram (berdiri), bersama Ustaz Jazair Jummat dan Ustaz Saiful Adli, pada 20 Julai.  - Foto MASJID DARUL MAKMUR

Setelah dua tahun ditutup sementara bagi menjalani pengubahsuaian, Masjid Darul Makmur dibuka semula dan kini bersedia menyambut jemaah dan anggota masyarakat.

Ia akan mengadakan sebuah acara penuh bermakna – Community Fest 2025 Nurturing a Resilient Community Together, atau Festival Masyarakat 2025 – Memupuk sebuah Masyarakat Berdaya Tahan Bersama – pada 20 Julai.

Acara itu akan berlangsung dari 5.30 pagi hingga 1 tengah hari.

Lebih daripada sekadar sebuah acara, Festival Masyarakat 2025, merupakan acara penting dalam satu siri program pembukaan semula masjid di Yishun itu yang dirancang secara menyeluruh.

Ia bertujuan menyampaikan mesej utama bahawa masjid bukan sebuah tempat ibadah sahaja, malah sebuah pusat penyatuan pelbagai lapisan masyarakat serta nadi rohani dan sosial yang sentiasa berkembang mengikut keperluan dan peredaran masa.

Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf, berkata keterlibatan masjid dalam acara seperti Festival Masyarakat 2025 amat penting bagi mengukuhkan peranannya sebagai institusi terangkum dan prihatin.

Ia turut mendakap dan memelihara hubungan erat dengan semua lapisan masyarakat.

“Sebagai sebuah institusi keagamaan dan sosial, masjid kini dilihat bukan sebagai tempat ibadah sahaja, bahkan sebagai pemacu perubahan sosial, pusat sokongan psikososial dan ruang pertumbuhan kerohanian menyeluruh.

“Acara Community Fest 2025 di Masjid Darul Makmur bukanlah sebuah acara sambutan biasa.

“Ia dirancang sebagai satu strategi dakwah masyarakat yang menggabungkan pendekatan inklusif dan mesra keluarga, sekali gus mengukuhkan hubungan antara masjid dengan pihak berkepentingan utama, termasuk jemaah, warga emas, belia, pertubuhan akar umbi, dan rakan antara agama di Yishun,” ujar Encik Mohd Fairus.

Sorotan Utama Festival Masyarakat 2025

– Program ‘Jom Subuh – Menyemai Harapan Belia Muslim’

Sesi pagi akan dimulakan dengan solat subuh berjemaah seiring program kerohanian dan motivasi yang menampilkan, Ustaz Zahil Zakaria, serta artis tempatan Taufik Batisah, bersama kakitangan dan asatizah Masjid Darul Makmur.

Mereka akan berkongsi kisah perjuangan peribadi mereka dan nilai Islam yang membentuk kekuatan jiwa mereka. Ia satu pendekatan yang bertujuan menyentuh hati anak muda dan menanamkan rasa kekitaan terhadap masjid dalam diri mereka.

– Program ‘Home Coming’ – Kunjungan ke Rumah Ibadat Kejiranan

Dengan menganjurkan lawatan ke rumah ibadat kejiranan, segmen ini menunjukkan keterbukaan masjid dalam memupuk keharmonian sosial.

Ia menggalak persefahaman rentas agama yang sangat penting dalam masyarakat berbilang budaya seperti Singapura.

– Sesi Kesihatan Mental oleh Kelab Heal

Sebagai pengiktirafan bagi cabaran kesihatan mental yang semakin ketara, sesi ini menyediakan ruang pendidikan dan kesedaran kepada orang ramai, sekali gus mencerminkan masjid sebagai pelindung kesejahteraan rohani dan emosi umat Islam.

– Program Penuaan Aktif:

Dilaksanakan bersama Pusat Kegiatan Warga Emas Muhammadiyah, sesi ini memberi inspirasi kepada warga emas untuk kekal aktif dan berdikari,

Ia sebagai satu sumbangan penting dalam menyokong penuaan positif dalam masyarakat.

– Gerai Rakan Strategik, Niaga & F&B

Ruang ini mewujudkan jalinan langsung antara masjid dengan masyarakat melalui sektor ekonomi kecil, menjana peluang dan mendekatkan masyarakat tempatan dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

– Forum Santunan Emas – Fiqh Pesakit

Salah satu segmen paling dinanti-nanti ialah ‘Forum Santunan Emas – Fiqh Pesakit’, khusus buat warga emas dan penjaga mereka, atau ‘caregiver’.

Forum ini bertujuan menyantuni kelompok masyarakat yang sering terpinggir dalam perbincangan fiqah kontemporari.

Tarikh: Ahad, 20 Julai 2025

Masa: 10 pagi – 12 tengah hari

Tempat: Dewan Solat Utama, Masjid Darul Makmur

Panelis tersohor seperti mantan Mufti Ustaz Dr Fatris Bakaram, Ustaz Jazair Jummat dan Ustaz Saiful Adli akan membincangkan isu praktikal seperti cara mengambil wuduk dalam keadaan uzur, pengurusan aurat dan solat ketika sakit, serta hak dan tanggungjawab penjaga menurut syarak pada forum itu.

Ia bukan bertujuan mendidik sahaja, malah memberi sokongan moral dan rohani kepada mereka yang menjaga ibu bapa dan anggota keluarga uzur.

Masjid Darul Makmur berharap acara Festival Masyarakat 2025 dapat memberi peluang anggota masyarakat datang ke masjid bukan sahaja untuk beribadah, malah menimba ilmu, mendapatkan sokongan dan melibatkan diri dengan masyarakat.

Bagi kakitangan masjid dan sukarelawan pula, ia peluang menyuntik semangat baru dalam menyantuni anggota masyarakat dengan berkesan.

MAKLUMAT RINGKAS

Sumbangan derma untuk ‘Projek Wakaf Peningkatan Masjid Darul Makmur’ boleh dilakukan melalui cara berikut:

– PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf)

– Pemindahan bank ke akaun: OCBC Semasa 581-652138001 (Rujukan: Wakaf)

– Cek: Atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’, dan dihantar melalui pos ke alamat: 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099

* Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian masjid di 6752-1402 atau e-mel kepada corporate@darulmakmur.mosque.sg

MAKLUMAT PENDAFTARAN:

Daftar di sini bagi acara ‘Forum Santunan Emas – Fiqh Pesakit’: http://bit.ly/44oNqC4

Untuk menghantar soalan ke forum itu, lungsuri pautan ini: https://bit.ly/ForumSE20July

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg