Lebih 2 juta warga Singapura telah membuang undi pada Jumaat untuk memilih Presiden kesembilan negara.
Malah, seawal satu jam sebelum pusat mengundi dibuka pada 8 pagi, ramai sudah kelihatan beratur.
Sehingga 5 petang, 2,302,996 warga Singapura – atau sekitar 85 peratus daripada jumlah pengundi yang layak – telah mengundi di 1,264 pusat mengundi seluruh negara, kata Jabatan Pilihan Raya (ELD).
Warga Singapura di luar negara juga telah mengundi untuk memilih presiden negara di pusat mengundi di bandar utama seperti Beijing, Tokyo dan San Francisco pada Jumaat.
Pengundi luar negara menyumbang sekitar 0.25 peratus daripada 2.7 juta pengundi yang berdaftar bagi Pilihan Raya Presiden kali ini.
Proses mengundi di sini rata-rata berjalan amat lancar, meskipun sedikit kegenjotan teknikal berlaku di pusat mengundi pada awal pagi, menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang dan menunggu.
ELD telah mengeluarkan kenyataan pada 8.40 pagi Jumaat menyatakan pada permulaan pengundian, terdapat keadaan orang ramai beratur panjang di beberapa pusat mengundi.
Seorang pengundi yang enggan namanya dinyatakan memberitahu Berita Harian (BH) beliau melihat kegenjotan teknikal berlaku di pusat mengundi di Ghim Moh, di awal proses pendaftaran.
Menurut beliau, yang tiba di pusat mengundi sekitar 8.20 pagi, pegawai di pusat itu dilihat perlu mengimbas kod elektronik di alat bimbit sebelum mengimbas kad pengundi dan seterusnya mengimbas kad yang dimiliki Pegawai Pusat Mengundi (PO) dan proses ini terganggu apabila beberapa alat bimbit tidak berfungsi seperti yang dijangka.
Dua daripada empat alat bimbit yang menyerupai iPad itu dilihat tidak berfungsi pada ketika itu, menyebabkan barisan beratur menjadi lebih panjang.
Maklum balas serupa turut diulangi beberapa warga yang berkongsi pengalaman mereka dengan BH.
Namun, keadaan bertambah baik tidak lama kemudian setelah masalah teknikal dileraikan.
Sekitar tengah hari, barisan beratur dilihat semakin pendek atau bergerak dengan lancar dan agak pantas.
Beberapa tokoh penting juga dilihat tidak melepaskan peluang membuang undi masing-masing.
Presiden Halimah Yacob dan suami, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee, dilihat tiba di pusat mengundi di Sekolah Tinggi Chung Cheng (Main) di Goodman Road pada sekitar 8.15 pagi.
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, pula hadir di Sekolah Perempuan Crescent di Tanglin pada sekitar 9.25 pagi. Beliau ke sana dengan isterinya, Cik Ho Ching.
Calon Presiden, Encik Tan Kin Lian, dan isteri, Cik Tay Siew Hong, tiba di pusat mengundi di Maktab Rendah Anderson Serangoon pada 9.15 pagi untuk membuang undi.
Encik Tan kemudian mengunjungi beberapa pusat mengundi lain.
Seorang lagi calon, Encik Ng Kok Song, tiba di pusat mengundi di Balai Rakyat Katong pada sekitar 10 pagi, dengan tunangnya, Cik Sybil Lau.
Encik Ng telah mengunjungi sembilan pusat mengundi lain termasuk di Hougang, Ang Mo Kio dan Boon Tiong Road dekat Tiong Bahru.
Calon Presiden, Encik Tharman Shanmugaratnam, dan isteri, Cik Jane Ittogi, tiba di Sekolah Rendah Perempuan Raffles untuk membuang undi mereka pada sekitar 5.45 petang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg