Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hari Ini Dalam Sejarah S’pura: Hotel New World runtuh

Bencana pada 15 Mac 1986 ketengah semangat satu hati warga S’pura bantu, beri sokongan dalam tempoh krisis
Mar 15, 2025 | 6:02 PM
Hotel enam tingkat di Serangoon Road, Hotel New World, runtuh dengan 33 mangsa terbunuh dan 17 yang lain berjaya diselamatkan dalam operasi yang makan masa enam hari.
Hotel enam tingkat di Serangoon Road, Hotel New World, runtuh dengan 33 mangsa terbunuh dan 17 yang lain berjaya diselamatkan dalam operasi yang makan masa enam hari. - Foto fail

Pada 15 Mac 1986, satu kejadian menggemparkan warga Singapura.

Hotel enam tingkat di Serangoon Road, Hotel New World, runtuh dengan 33 mangsa terbunuh dan 17 yang lain berjaya diselamatkan dalam operasi yang makan masa enam hari.

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Pertahanan Awam dan beberapa sukarelawan bekerja tungkus-lumus bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

Dalam tempoh 12 jam pertama sesudah kejadian berlaku pada 11.25 pagi, pegawai SAF berjaya menyelamatkan sembilan mangsa yang terbenam di bawah serpihan keruntuhan.

Pakar gali terowong, termasuk dari Jepun, Ireland dan Britain, tampil memberi bantuan, didesak keprihatinan peralatan berat yang digunakan dalam misi menyelamat akan lebih memburukkan keadaan.

Mangsa terakhir yang diselamatkan adalah Cik Chua Kim Choo yang ketika itu berusia 30 tahun.

Beliau ditemui bersembunyi di bawah meja dalam runtuhan tersebut.

Satu siasatan menunjukkan bahawa pengiraan daya tampungan struktur bangunan Hotel New World yang dibina pada 1971 itu sudah mempunyai permasalahan awal.

Kiraan dibuat pelukis draf tidak berkelayakan, yang bukan jurutera struktur profesional.

Pemilik hotel pula meminta bahan berkos rendah untuk menjimat kos.

Berikutan kejadian itu, peraturan keselamatan bangunan di Singapura dikemas kini, di mana segala reka bentuk struktur bangunan yang dibina harus diusahakan jurutera profesional dengan pemeriksaan terperinci dilakukan pakar bertauliah bebas.

Satu Dana Bantuan Bencana Hotel New World telah dibangunkan, di mana orang ramai boleh menyumbang bagi membantu keluarga mangsa dan mereka yang berjaya diselamatkan.

Bencana itu menunjukkan keupayaan warga Singapura bersatu hati dalam tempoh krisis dengan penduduk berbeza latar belakang menawarkan bantuan dan sokongan.  

Dalam satu laporan The New Paper (TNP) pada 15 Mac 2017, seorang sukarelawan Palang Merah Singapura, Encik David Yeo, yang ketika kejadian berusia 32 tahun, menyingkap detik cemas yang melanda ketika bencana itu berlaku.

Beliau yang sedang berehat di rumahnya di Kitchener Road terdengar bunyi runtuhan kuat, yang disangkanya merupakan ledakan bom.

Beliau berlari ke balkoni rumahnya dan melihat gumpalan debu menyelubungi bangunan Hotel New World.

Dalam sekelip mata, hotel itu hilang begitu sahaja dan tinggal serpihan batu-batan.

“Saya langsung turun hanya dengan memakai singlet dan selipar.

“Pihak polis tidak membenarkan saya memasuki tapak runtuhan, tetapi setelah saya menunjukkan kad pengenalan Palang Merah saya, mereka membenarkan saya membantu dengan operasi menyelamat,” ujarnya.

Beliau menganggap suasana ketika itu begitu kecoh dan kacau-bilau sebab ramai yang panik.

Suara tangisan kedengaran.

Encik Yeo yang menawarkan bantuan bersama Palang Merah Singapura sejak di sekolah menengah menggali serpihan batu-batan dengan tangannya.

“Saya tak nampak apa-apa sebab debu di situ tebal. Saya hanya perlu buka telinga dan mendengar suara-suara meminta bantuan,” ceritanya.

Beliau berjaya menarik keluar beberapa mangsa daripada serpihan itu. Mereka diselubungi pasir. Ada juga yang berdarah.

Encik Yeo menggali lagi hingga tangannya berdarah kerana batu dan pasir yang tajam menusuk.

“Saya ambil masa lebih setengah jam untuk tarik keluar dan menyelamatkan setiap mangsa.

“Saya mahu teruskan tetapi terasa penat dan berhenti,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg