Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harimau Malaya dari S’pura dan Zoo Taipei dalam ‘program pertukaran’ untuk pembiakan

Apr 3, 2025 | 5:43 PM
Salah satu daripada tiga harimau Malaya di Rainforest Wild Asia akan dipindahkan ke Zoo Taipei menjelang Jun.
Salah satu daripada tiga harimau Malaya di Rainforest Wild Asia akan dipindahkan ke Zoo Taipei menjelang Jun. - Foto ST

Salah seekor daripada tiga harimau Malaya di Rainforest Wild Asia akan dipindahkan ke Zoo Taipei untuk dipadankan dengan harimau betina muda di sana.

Ini susulan ketibaan harimau betina Malaya berusia lima tahun dari Zoo Taipei di Mandai, pada 26 Februari sebagai pasangan berpotensi untuk harimau jantan di sini.

‘Program pertukaran’ ini adalah sebahagian daripada usaha kerjasama rangkaian zoo antarabangsa untuk membantu meningkatkan populasi harimau Malaya yang terancam.

Harimau jantan berusia empat tahun itu akan dipindahkan ke Zoo Taipei menjelang Jun, kata Mandai Wildlife Group (MWG) kepada The Straits Times (ST).

Tempoh tinggalnya di sana masih belum diketahui.

Harimau itu adalah salah satu daripada dua harimau jantan yang tinggal di taman terbaru Singapura.

Sebelum dipindahkan, harimau itu akan dikuarantin dan diperiksa untuk memastikan tahap kesihatan yang baik sepanjang perjalanan ke Taipei. 

Pasukan penjaga haiwan akan melatih harimau itu dengan menggunakan makanan sebagai ‘ganjaran’ untuk masuk ke dalam sangkar secara sukarela.

“Latihan ini akan memudahkan pemindahan dan mengurangkan tekanan yang dialami haiwan pada hari penerbangan,” kata Cik Cecilia Tang, kurator penjagaan haiwan di MWG.

Menurut kumpulan pemuliharaan Dana Kehidupan Liar Sedunia (WWF), terdapat kurang daripada 150 harimau Malaya di kehidupan liar.

Sejak 1994, MWG aktif menyertai program kerjasama zoo antarabangsa untuk menyokong kepelbagaian genetik dan pemuliharaan harimau Malaya.

Harimau betina Malaya dari Zoo Taipei baru-baru ini selesai menjalani kuarantin wajib selama 30 hari.

Ia akan dibiasakan dengan persekitaran baru sebelum diperkenalkan secara perlahan ke habitat harimau di Rainforest Wild Asia.

Pendekatan berperingkat ini mengurangkan tekanan dan menyokong kesejahteraan harimau.

Harimau ialah haiwan yang hanya bertemu untuk pembiakan atau menjaga anak.

Memperkenalkan harimau di luar kitaran pembiakan semula jadi mereka, boleh menyebabkan tekanan dan bahaya, kerana mereka mungkin menganggap satu sama lain sebagai ancaman, kata Cik Tang.

Justeru memperkenalkan harimau jantan disesuaikan dengan kitaran reproduktif betina, kerana ia dapat menerima kehadiran harimau jantan pada waktu itu dan mengurangkan risiko harimau bertindak agresif.

Jika pasangan harimau selesa bersama, MWG mungkin membenarkan kededua ekor untuk berada di habitat yang sama semasa tempoh pembiakan.

“Kami akan terus bekerjasama untuk memantau kesejahteraan dan pembiakan harimau,” kata MWG.

MWG berkata banyak zoo moden terlibat dalam program kerjasama antarabangsa untuk pembiakan dan pemuliharaan haiwan di luar habitat semula jadi mereka, seperti di zoo.

Program ini diselaraskan oleh organisasi antarabangsa seperti Persatuan Zoo dan Akuarium Eropah, Persatuan Zoo dan Akuarium Asia Tenggara dan Persatuan Zoo dan Akuarium (AZA).

Tujuannya adalah untuk mengurus dan melindungi spesies terancam, seperti harimau Malaya, dengan memastikan populasi yang sihat dan genetik yang pelbagai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg