Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarta karun maritim purba di pameran bergerak ulang tahun ke-30 MPA.
Harta karun maritim purba di pameran bergerak ulang tahun ke-30 MPA.
Harta karun maritim purba di pameran bergerak ulang tahun ke-30 MPA.
Warisan purba, ditemui daripada bangkai kapal dagang yang tenggelam di perairan Singapura lebih dua kurun lalu, kini menjadi inti pati pameran bergerak terbaharu anjuran Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA).
Salah satu penemuan paling berharga ialah medalion atau loket, pernah dimuliakan di China sebagai “batu delima merah,” yang diselamatkan dari tragedi kapal Shah Muncher. Kapal tersebut karam tragis di luar Pedra Branca pada Januari 1796.
Medalion ini, yang pernah menghiasi masyarakat kuno, hanyalah sebahagian kecil daripada harta karun yang dianggarkan berjumlah 100,000 barangan yang dibawa oleh kapal malang itu.
Pameran bersempena ulang tahun ke-30 MPA, bertajuk Voyage Beyond: Reimagining Maritime Singapore, telah dilancarkan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, pada 25 Mei di Lot One Shoppers’ Mall, Choa Chu Kang.
Ia akan berlangsung sehingga 26 Mei, dan masuk adalah percuma.
Pameran itu kemudiannya akan bergerak ke lima lokasi lain, termasuk pusat membeli-belah di tengah Singapura dan Tampines, dari 4 Jun hingga 5 Julai.
Untuk tatapan umum buat kali pertama, dipamerkan adalah artifak unik - dari teknologi kapal bersejarah yang canggih hinggalah ke peralatan makan yang diselamatkan dari bangkai kapal.
Pengalaman sentuhan juga tersedia; serpihan tembikar yang ditemui dari kapal karam boleh diperiksa dan disentuh oleh pengunjung secara langsung.
Menerusi laluan pameran, pengunjung boleh mengimbas Kod QR untuk menebus hadiah seperti buku nota, di samping mengumpul setem bagi mendapatkan kad kartun kenang-kenangan.
Sepanjang perjalanan, pengunjung berpeluang menyelami sains pelabuhan dan kapal, termasuk paparan mendalam yang membandingkan enam jenis bahan api dan jejak karbon masing-masing.
Bagi keluarga dan generasi muda, permainan video interaktif disediakan untuk menghidupkan pemahaman tentang operasi pelabuhan yang lancar.
Pengunjung juga boleh mencuba kuiz interaktif yang akan memadankan mereka dengan salah satu daripada sembilan kerjaya dalam industri maritim.
Pameran ini turut menyajikan jendela ke masa hadapan melalui paparan “Window to Tuas”, mendedahkan ciri animasi Pelabuhan Tuas yang bakal menjadi pelabuhan automatik sepenuhnya terbesar di dunia menjelang tahun 2040-an.
Untuk panduan kerjaya yang lebih mendalam, sesi ceramah istimewa diadakan, membolehkan pengunjung bertukar pandangan dengan profesional maritim dan pelaut.
Encik Siow menyuarakan harapan agar pameran ini menaikkan penghargaan rakyat Singapura terhadap sumbangan lampau dan semasa negara kepada rantaian bekalan global, sekali gus memperkukuh komitmen untuk kekal sebagai hab maritim dunia.
Selain itu, peluang keemasan menanti untuk menyertai lawatan berpandu berbayar ke mercu tanda bersejarah: Rumah Api Sultan Shoal pada 13 Jun.
Terletak berhampiran Tuas, rumah api setinggi 18 meter yang dibina pada 1895 ini bukan sahaja telah memandu kapal melalui pintu masuk barat Singapura selama lebih seabad, malah menawarkan pemandangan eksklusif perkembangan Pelabuhan Tuas yang sedang giat dijalankan.
Selepas Lot One Shoppers’ Mall, pameran akan bergerak ke lokasi berikut
1) 4 hingga 7 Jun: IMM (Tingkat 3, Garden Plaza)
2) 11 hingga 14 Jun: Bangunan Perpustakaan Negara (The Plaza)
3) 18 hingga 21 Jun: Funan (Atrium Basement 2)
4) 25 hingga 28 Jun: Stesen MRT Punggol Coast (Civic Commons)
5) 2 hingga 5 Julai: Tampines Mall (Tingkat 4, plaza terbuka)
