Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarta karun maritim purba paparan pameran bergerak ulang tahun ke-30 MPA
Harta karun maritim purba paparan pameran bergerak ulang tahun ke-30 MPA
Pameran lancar di Lot One, Choa Chu Kang akan bergerak ke lima lokasi lain
Harta karun maritim purba paparan pameran bergerak ulang tahun ke-30 MPA
Warisan purba yang ditemui daripada bangkai kapal dagang yang tenggelam di perairan Singapura lebih dua kurun lalu, kini menjadi inti pati pameran bergerak terbaharu anjuran Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA).
Antara penemuan paling berharga itu ialah medalion atau loket, yang pernah dimuliakan di China sebagai ‘batu delima merah’, yang diselamatkan dari kapal, Shah Muncher, yang karam berhampiran Pedra Branca pada Januari 1796.
Medalion itu, yang pernah menghiasi masyarakat kuno, merupakan sebahagian daripada kargo yang dibawa oleh kapal malang itu.
Pameran bersempena ulang tahun ke-30 MPA, bertajuk, Voyage Beyond: Reimagining Maritime Singapora (Pelayaran Jauh: Membayangkan Semula Maritim Singapura), telah dilancarkan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow, pada 25 Mei di Lot One Shoppers’ Mall, Choa Chu Kang.
Ia akan berlangsung sehingga 26 Mei, dan masuk adalah percuma.
Pameran itu kemudian akan bergerak ke lima lokasi lain, termasuk pusat membeli-belah di tengah bandar Singapura dan Tampines, dari 4 Jun hingga 5 Julai.
Untuk tatapan umum buat kali pertama, antara yang dipamerkan adalah artifak unik – daripada teknologi kapal bersejarah yang canggih hinggalah kepada peralatan makan yang diselamatkan dari bangkai kapal.
Pengalaman sentuhan juga tersedia; serpihan tembikar yang ditemui dari kapal karam boleh diperiksa dan disentuh oleh pengunjung secara langsung.
Menerusi laluan pameran, pengunjung boleh mengimbas Kod QR untuk menebus hadiah seperti buku nota, di samping mengumpul setem bagi mendapatkan kad kartun kenang-kenangan.
Sepanjang perjalanan itu, pengunjung berpeluang menyelami sains pelabuhan dan kapal, termasuk paparan mendalam yang membandingkan enam jenis bahan api kapal dan jejak karbon masing-masing.
Bagi keluarga dan generasi muda, permainan video interaktif disediakan untuk menghidupkan pemahaman tentang operasi pelabuhan yang lancar.
Pengunjung juga boleh mencuba kuiz interaktif yang akan memadankan mereka dengan salah satu daripada sembilan kerjaya dalam industri maritim.
Pameran itu turut menyajikan jendela ke masa hadapan melalui paparan, Window to Tuas, mendedahkan ciri animasi Pelabuhan Tuas yang bakal menjadi pelabuhan automatik sepenuhnya dan yang terbesar di dunia menjelang 2040-an.
Untuk panduan kerjaya yang lebih mendalam, sesi ceramah istimewa diadakan bagi membolehkan pengunjung bertukar pandangan dengan karyawan maritim dan pelaut.
Encik Siow menyuarakan harapan agar pameran itu dapat meningkatkan penghargaan rakyat Singapura terhadap sumbangan lampau dan semasa negara kepada rantaian bekalan sejagat, sekali gus memperkukuh komitmen untuk kekal sebagai hab maritim dunia.
Selain itu, pelawat juga berpeluang menyertai lawatan berpandu berbayar ke mercu tanda bersejarah, Rumah Api Sultan Shoal, pada 13 Jun.
Terletak berhampiran Tuas, rumah api setinggi 18 meter yang dibina pada 1895 itu bukan sahaja telah mengemudi kapal melalui pintu masuk barat Singapura selama lebih seabad, malah menawarkan pemandangan eksklusif perkembangan Pelabuhan Tuas yang sedang giat dibangunkan.
Selepas Lot One Shoppers’ Mall, pameran itu akan bergerak ke lokasi berikut
1) 4 hingga 7 Jun: IMM (Tingkat 3, Garden Plaza)
2) 11 hingga 14 Jun: Bangunan Perpustakaan Negara (The Plaza)
3) 18 hingga 21 Jun: Funan (Atrium Basement 2)
4) 25 hingga 28 Jun: Stesen MRT Punggol Coast (Civic Commons)
5) 2 hingga 5 Julai: Tampines Mall (Tingkat 4, plaza terbuka)
