Topik diikuti
Pergi ke BHkuHartanah, beg tangan, barang kemas mewah dalam kes ubah wang haram $3b bakal dilelong
Barangan mewah seperti beg tangan berjenama, jam tangan dan barang kemas yang dirampas pihak berkuasa di Singapura dalam kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion akan dijual melalui siri lelongan dalam talian dengan had masa yang ditetapkan.
Lebih 80 hartanah yang berkaitan dengan siasatan itu juga akan dilelong secara berperingkat, kata firma perkhidmatan profesional Deloitte dalam satu kenyataan pada 29 Ogos.
Seorang jurucakap Deloitte memberitahu The Straits Times (ST) bahawa dua acara lelongan – satu untuk barang kemas dan satu lagi untuk beg tangan – akan diadakan pada 7 September sebagai sebahagian daripada fasa pertama proses jualan tersebut.
“Selain lelongan, aset tertentu juga mungkin dijual menerusi kaedah alternatif seperti tender terhad, penyataan hasrat pembelian atau jualan terus,” kata rakan kongsi penambahbaikan prestasi dan penstrukturan semula di Deloitte, Encik Justin Lim.
Siri 15 lelongan sedemikian bagi aset lebih kecil telah dirancang oleh Hotlotz – sebuah rumah lelongan tempatan yang pernah menjual pen founten Montblanc perak milik mendiang Perdana Menteri pengasas, Encik Lee Kuan Yew, pada harga $461,500 pada 16 Ogos.
Menurut Hotlotz, 15 lelongan itu dijadualkan berlangsung antara September 2026 dengan Mei 2027.
Lebih 1,000 barangan dijangka disenaraikan dalam lelongan berkenaan.
Dua lelongan pertama bagi siri berkenaan akan dibuka untuk bidaan dalam talian pada 10 pagi, 7 September dan ditutup pada 4 petang, 20 September.
Acara lelongan tersebut turut dibuka bagi peserta dari serata dunia.
Mereka yang berminat untuk mengambil bahagian perlu mendaftar untuk setiap lelongan secara dalam talian, yang merangkumi langkah pengesahan identiti wajib.
Rumah lelongan itu memaklumkan bahawa katalog digital bagi barangan yang disenaraikan dalam dua lelongan pertama berkenaan akan diterbitkan di laman webnya pada 10 pagi, 7 September.
Mereka yang mahu melihat barangan lelongan itu secara fizikal perlu mendaftar untuk jualan tersebut dan menempah slot janji temu di platform digital Hotlotz.
Sesi melihat barangan itu dijangka dijalankan menerusi janji temu di Le Freeport, sebuah bilik kebal keselamatan tinggi privet di Changi.
Lelongan seterusnya dijangka diadakan sekitar November 2026, kata jurucakap Hotlotz.
