Singapura mengumpul $8.6 bilion dalam hasil pelancongan pada suku pertama 2026, naik 5.8 peratus daripada $8.1 bilion yang dicatat dalam tempoh yang sama pada 2025.

Ini berlaku menyusuli kemasukan pelawat antarabangsa yang meningkat 2.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025, kepada 4.4 juta bagi suku pertama 2026.

Ini berbanding 4.3 juta pada suku pertama 2025, menurut data Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada 15 Julai. 

“Peningkatan hasil pelancongan ini didorong oleh perbelanjaan pelawat yang memberangsangkan, selaras dengan strategi Singapura untuk mengembangkan pelancongan bermutu,” kata agensi itu. 

Namun begitu, ia memberi amaran bahawa di tengah-tengah ketidaktentuan sejagat yang berterusan, permintaan pelawat dijangka semakin sederhana.

Prestasi hasil pelancongan yang lebih baik pada suku pertama 2026 berlaku ketika komponen utama menunjukkan pencapaian yang bercampur-campur, dengan tiga daripada lima komponen mencatatkan perbelanjaan lebih tinggi berbanding Januari hingga Mac 2025.

Perbelanjaan untuk kegiatan lawatan dan hiburan mencatatkan lonjakan tahunan terbesar, meningkat 22.8 peratus kepada $2 bilion. Ini diikuti oleh kegiatan membeli-belah, di mana ia meningkat 7 peratus kepada $1.4 bilion.

Segmen “komponen lain” – yang merangkumi perbelanjaan tambang penerbangan pada syarikat penerbangan berpangkalan di Singapura, cukai pelabuhan, pengangkutan tempatan, serta perbelanjaan oleh pelawat perniagaan, perubatan, pendidikan dan transit – meningkat 1.3 peratus kepada $2.5 bilion.

Sebaliknya, makanan dan minuman (F&B) mencatat penurunan 1.9 peratus kepada $1.2 bilion, manakala penginapan jatuh 0.2 peratus kepada $1.4 bilion.

STB menyatakan bahawa kegiatan membeli-belah merupakan pendorong utama pertumbuhan hasil pelancongan, dengan tujuh daripada 10 pasaran teratas mencatatkan pertumbuhan tahunan dalam perbelanjaan membeli-belah pada suku pertama. 

Ini didorong terutamanya oleh perbelanjaan pelawat yang kukuh dalam kategori runcit bernilai tinggi, tambah STB.

Mengikut pasaran, China kekal sebagai penyumbang hasil pelancongan terbesar bagi Singapura pada suku pertama 2026, dengan $1.3 bilion dalam hasil. Ini meningkat 3.4 peratus daripada sumbangannya pada suku pertama 2025.

Pada suku pertama 2026, bilangan pelawat ke Singapura dari China meningkat 9.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025, kepada 913,407 orang.

Indonesia merupakan penyumbang hasil pelancongan terbesar seterusnya, menyumbang $719.7 juta, walaupun jumlah itu 0.5 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada 2025.

Pelawat antarabangsa dari Indonesia menurun 2.2 peratus tahun ke tahun, kepada 626,225 dalam suku tersebut.

Australia ($533.3 juta), Amerika Syarikat ($465.7 juta) dan India ($374.1 juta) melengkapkan senarai lima pasaran penyumbang hasil pelancongan teratas Singapura.

Secara tahunan, sumbangan dari Australia naik 1.2 peratus manakala dari India naik 7.5 peratus. 

Pada suku pertama 2026, Singapura menarik 311,886 pelawat dari Australia, 1.2 peratus lebih ramai berbanding 2025. Dari India pula, terdapat 247,381 pelancong, atau penurunan 5.4 peratus berbanding suku pertama 2025.

Hasil pelancongan dari Amerika pada suku pertama 2026 mencatatkan penurunan tahunan sebanyak 3.2 peratus. Singapura menarik 206,543 pelawat dari Amerika dalam suku tersebut, 0.7 peratus lebih tinggi berbanding suku pertama 2025.

Pada separuh kedua 2026, ketidaktentuan makroekonomi dan kekangan kapasiti akan terus membebankan sektor pelancongan, kata STB, sambil menyifatkan China, Australia dan Malaysia sebagai pasaran sumber utama yang berdaya tahan bagi Singapura.