Topik diikuti
Pergi ke BHkuTarikan kesejahteraan Marina South mudah diakses, dijangka dimampui
Tarikan kesejahteraan Marina South mudah diakses, dijangka dimampui
Usaha mantan menteri, Mah Bow Tan, bawa pulang formula ketenangan Therme dari Romania ke S’pura menerusi projek $1b
Tarikan kesejahteraan Marina South mudah diakses, dijangka dimampui
Pada 2016, ketika mantan menteri Kabinet, Encik Mah Bow Tan, kali pertama mendengar usul membina sebuah kemudahan kesejahteraan besar di Singapura, beliau tidak berminat.
Idea itu kelihatan seperti konsep mahal untuk golongan tertentu sahaja, dan beliau tidak fikir ia akan mendapat sokongan pemerintah.
Pada mulanya, beliau menolak untuk terlibat sama dalam projek itu.
Namun setahun kemudian, lawatan ke Therme Bucharest, yang merupakan kemudahan seluas 44,000 meter persegi, milik kumpulan itu di ibu kota Romania, mengubah pendiriannya.
Pengunjungnya yang pelbagai, termasuk keluarga dan warga emas, keluar dengan senyuman dan ia meyakinkan Encik Mah bahawa kemudahan itu patut dibawa ke Marina Bay Singapura.
Encik Mah, yang merupakan Menteri Pembangunan Negara dari 1999 hingga 2011, berkata:
“Itulah perkara mudah yang membuatkan saya sedar ini adalah sesuatu yang kita perlukan di Singapura.
“Kita menjalani kehidupan yang begitu tertekan dan pantas, kita memerlukan sesuatu yang membantu kita melepaskan tekanan.”
Oleh itu, tarikan kesejahteraan di Marina South, yang dijadual dibuka pada 2030 itu, bukan sahaja menyasar pelancong berkemampuan, malah bertujuan membawa kesegaran kepada rakyat Singapura biasa.
Matlamatnya adalah untuk “mendemokratikkan kesejahteraan”, dengan harga tiket Therme Singapore, akan “lebih dimampui”, kata Encik Mah, yang kini mengetuai Therme Group Asia dan Therme Singapore.
Harga tiket akan diselaraskan dengan tarikan serupa seperti spa dan taman air, namun butiran lanjut masih dalam proses, tambahnya.
Harga tiket masuk ke Therme Bucharest dengan akses sehari penuh ke tiga zonnya, bermula pada 38 Euro ($56) untuk orang dewasa.
Dengan tambahan seperti urutan dan rawatan, serta makanan dan minuman, sehari di kemudahan Bucharest boleh menelan belanja lebih $100 keseluruhannya.
Dalam temu bual sebelum majlis pecah tanah Therme Singapore pada 19 Jun, Encik Mah berkata kemudahan baru itu juga selaras dengan falsafah ‘bandar yang selesa didiami’, dengan rakyat dapat rasai mereka sebahagian daripadanya, sebuah visi yang beliau miliki semasa menjadi menteri.
Antara mereka yang menyertai pasukannya di Therme ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JTC Corporation, Encik Tan Boon Khai, yang dilantik sebagai CEO Therme Singapore pada awal 2026.
Terletak bersebelahan Bendungan Marina dan Gardens by the Bay, Therme Singapore merupakan projek bernilai $1 bilion, yang merentasi lebih 720,000 kaki persegi keluasan lantai kasar, bersamaan lebih sembilan padang bola sepak.
Kemudahan tujuh tingkat itu, yang direka bentuk oleh DP Architects dan arkitek dalaman Therme Group, akan menampilkan lebih 20 kolam dan ciri-ciri air serta lebih 70 bilik rawatan kesihatan.
Mencari tanah di Singapura merupakan satu cabaran, kata Encik Mah, dan peluang muncul apabila Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengeluarkan tender demi membangunkan tarikan kesejahteraan di Marina South.
Therme Group berjaya memenangi tender itu pada November 2025.
Syarikat tersebut berhasrat mengambil kira-kira 400 orang untuk mengendalikan kemudahan tersebut, termasuk kumpulan teras pengurus dan kakitangan penyelia warga Singapura, kata Encik Mah.
Ia menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Politeknik Republic (RP) pada 19 Jun bagi membangunkan kemahiran dan menyediakan peluang pekerjaan bagi lulusan dua institusi itu dalam sektor kesejahteraan.
