Dinding adang di Kim Seng Linear Park yang terletak sepanjang Sungai Singapura, akan dijadikan kanvas seni masyarakat tidak lama lagi.
Ia akan menampilkan 30 karya seni pelajar dengan keunikan neurodivergent – otak berfungsi mengikut cara berbeza berbanding individu neurotipikal atau biasa – daripada Sekolah Pathlight.
‘Neurodiversiti’ merujuk kepada kepelbagaian cara otak manusia berfungsi, meliputi keadaan seperti autisme, Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD), disleksia, disgrafia dan lain-lain.
Karya yang mendapat cetusan ilham daripada Sungai Singapura itu menggambarkan pandangan pelajar terhadap sejarah, masyarakat dan budaya di sekitar sungai tersebut.
Karya itu akan dipamerkan di dinding adang selama tiga tahun, sepanjang tempoh pembinaan River Green, sebuah kondominium tepi sungai merangkumi 524 unit dalam sebuah menara setinggi 36 tingkat.
Projek itu merupakan kerjasama antara pemaju hartanah, Wing Tai Group, dengan Sekolah Pathlight.
Dengan ukuran sepanjang 200 meter dan setinggi 4.8 meter, dinding adang yang diubah suai itu dijangka siap menjelang 17 Julai, lapor The Straits Times (ST).
Karya yang akan dipamerkan itu dipilih daripada 69 penyertaan dalam pertandingan seni anjuran Sekolah Pathlight dan Wing Tai Group.
Ia dibuka kepada pelajar menengah dan vokasional Pathlight.
Pertandingan tersebut diadili oleh Pengurus Kanan Program, Muzium Seni Singapura, Cik Cecilia Chow; Profesor Madya di Sekolah Seni Bina Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Joseph Lim; dan Timbalan Pengerusi Wing Tai Holdings, Encik Edmund Cheng.
Majlis penyampaian anugerah bagi pertandingan tersebut telah diadakan di Kampus 1 Sekolah Pathlight di Ang Mo Kio, pada 11 Julai.
Ketua Pemasaran Wing Tai Property Management, Cik Stacey Ow Yeong, berkata pihak pemaju hartanah melihat peluang untuk menjadikan dinding adang bagi projek River Green di Kim Seng Linear Park itu sebagai kanvas seni kerana kedudukannya yang mudah dilihat dan menjadi tempat laluan orang ramai.
“Kerjasama dengan Sekolah Pathlight ini menyerlahkan perspektif unik dan bakat seni dalam kalangan individu dengan keunikan neurodivergent,” tambah beliau.
Pelajar Menengah 1, Marcus Goh, 16 tahun, yang dua karyanya tersenarai dalam 10 karya terbaik pertandingan itu berkata, beliau “berasa sangat gembira dan bangga” kerana karyanya akan dipamerkan.
Lukisannya yang berasaskan akrilik, Flowing Through History, mendapat inspirasi daripada pemandangan di sekitar Sungai Singapura, manakala karya keduanya, A Spectrum Of Colours, menampilkan bangunan berwarna-warni bagi menggambarkan kepelbagaian budaya negara.
Pelajar Menengah 2, Nurdaanya Mohamed Hafiz, 14 tahun, menggambarkan suasana sibuk di kawasan dermaga Sungai Singapura dalam karya berasaskan pen dan cat air, A Playful Night At The Singapore River.
“Sebagai peminat sejarah, saya belajar bahawa Sungai Singapura sangat penting dari segi budaya dan sejarah, terutama pada zaman awal (pembangunan) negara,” katanya.
Karya pelajar vokasional Tahun 8, Brennan Tay, 20 tahun, bertajuk Community & Wellness Along Singapore River, yang tersenarai dalam 30 karya terbaik, menggambarkan kegembiraan kesejahteraan dan kehidupan bermasyarakat di sebuah taman hijau di tepi sungai.
Di Sekolah Pathlight, kelas pendidikan seni disesuaikan mengikut profil, kekuatan dan keperluan pembelajaran pelajar yang pelbagai.
Ketua Subjek Jabatan Seni di Sekolah Pathlight, Cik Nurhilda Anuar, berkata:
“Dalam kelas seni saya, saya akan mengkaji profil setiap pelajar bagi menentukan pendekatan yang sesuai untuk mereka.
“Sebagai contoh, strategi mesra autisme seperti sokongan visual dan sistem kerja yang dipermudahkan, digunakan bagi pelajar yang memerlukan struktur jelas untuk memahami dan melaksanakan tugasan seni.”
Pengetua Kanan Sekolah Pathlight, Cik Linda Kho, berharap orang ramai dapat menghargai bakat dan kebolehan pelajar melalui karya seni mereka serta lebih terbuka menerima golongan dengan keunikan individu neurodivergent.
“Ini bukan tentang perbezaan atau menumpukan kepada kekurangan mereka. Ia mengenai bakat dan suara mereka, serta wadah untuk mereka menyumbang kepada masyarakat,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg