Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hasil tenunan 60 meter oleh kakitangan bank, orang awam sempena SG60

Dec 17, 2024 | 8:29 PM
Ketua Bersama UBS Global Wealth Management, Asia Pasifik yang juga Ketua Negara UBS Singapore, Cik Young Jin Yee (dua dari kiri), dan beberapa kanak-kanak daripada badan amal, Care Corner, menyumbang pada hasil tenunan dewangga yang kelak mencecah sepanjang 60 meter, sempena pelancaran program seni masyarakat syarikat ini, ‘Art for All’ (Seni untuk Semua).
Ketua Bersama UBS Global Wealth Management, Asia Pasifik yang juga Ketua Negara UBS Singapore, Cik Young Jin Yee (dua dari kiri), dan beberapa kanak-kanak daripada badan amal, Care Corner, menyumbang pada hasil tenunan dewangga yang kelak mencecah sepanjang 60 meter, sempena pelancaran program seni masyarakat syarikat ini, ‘Art for All’ (Seni untuk Semua). - Foto UBS

Sempena ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60) pada 2025, satu hasil tenunan dewangga sepanjang 60 meter akan dihasilkan bersama bank pengurusan harta sejagat, UBS, dengan kerjasama kakitangan, rakan kerjasama masyarakat dan penduduk awam.

Daya usaha karya tenunan itu menggambarkan bermulanya pelancaran program seni masyarakat syarikat itu, Art for All (Seni untuk Semua), yang berlangsung selama setahun.

Program itu bertujuan memudahkan orang awam mendekati usaha dalam menghasilkan kerja seni dan adalah sebahagian daripada acara pameran seni terulung di Asia Tenggara, ART SG.

ART SG menampilkan karya seni 106 balai seni dari 30 negara dan wilayah bagi edisi ketiga yang diadakan dari 17 hingga 19 Januari.

Satu sesi pratonton Tetamu Terhormat (VIP) dijadual berlangsung pada 16 Januari di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands, Marina Bay Sands (MBS).

Dalam satu kenyataan pada 17 Disember, UBS, selaku rakan kerjasama pengasas dan utama ART SG, menjelaskan bahawa pihaknya mengalu-alukan individu daripada semua lapisan masyarakat agar menyumbang pada hasil tenunan itu sebagai satu kegiatan kemampanan, memandangkan bahan terpakai turut digunakan.

Proses tenunan itu juga dikendalikan dengan kerjasama badan seni amal Singapura, Art Outreach, dengan pengalaman menenun menekankan kuasa seni dalam memupuk kerjasama.

UBS, jelas kenyataan itu lagi, menyatukan pekerja, rakan kerjasama masyarakat dan orang awam merata Singapura dalam usaha mewujudkan perubahan sosial menerusi kerja seni dan amalan mampan.

Ketua Bersama UBS Global Wealth Management, Asia Pasifik yang juga Ketua Negara UBS Singapore, Cik Young Jin Yee, berkata:

“UBS Singapore akan melancarkan program kemasyarakatan kami yang pertama, Art For All, dengan hasil tenunan sepanjang 60 meter bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60.

“Dipaparkan di Studio Seni UBS, hasil tenunan ini akan juga dibuka bagi penyertaan orang awam sewaktu pameran.”

Dalam pada itu, ART SG merupakan wadah yang menggalak perbincangan seni antara karyawan pemasaran seni sejagat.

Tiga sektor menjadi tumpuan edisi ketiga pameran itu iaitu ‘Galleries’, pameran hasil karya artis yang bekerjasama; ‘Focus’, galeri bagi artis solo ataupun duo; dan ‘Futures’, yang dikhususkan bagi pelukis berusia bawah 10 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg