Bukan masjid yang memerlukan kita, tetapi kita yang memerlukan masjid.
Itulah kata-kata yang dikongsi Ketua Kaunselor Projek Arif, AMP Singapura, Ustaz Ahmad Khushairi Abidin, kepada Berita Harian (BH), mengenai prinsipnya.
Ustaz Khushairi memulakan kerjayanya sebagai pegawai dakwah yang memberi tumpuan kepada belia di Masjid Darul Ghufran pada 2004 dan berkhidmat di sana sekitar 18 tahun.
Penglibatan mendalam beliau dengan belia telah menyedarkannya tentang kepentingan menambah ilmu untuk memahami kehidupan seseorang dengan lebih baik.
Sesuai dengan itu, Masjid Darul Ghufran telah memberinya peluang meluaskan perspektif serta melengkapkan beliau dengan latihan yang sesuai untuk memperkaya pengetahuan, antaranya melalui pembiayaan diploma dalam kaunseling di APMI Kaplan.
Kini, Ustaz Khushairi yang berusia 43 tahun itu, berkhidmat sebagai kaunselor sepenuh masa di AMP Singapura serta naib kadi.
Ustaz Khushairi merupakan antara penyampai di Persidangan Sektor Satu Masjid (OMS) yang diadakan pada 8 Februari.
Beliau berkongsi mengenai kepentingan melabur dalam masyarakat untuk membina keupayaan bagi masa depan, agar dapat meningkatkan mutu bimbingan agama yang boleh diterapkan dalam pelbagai segmen termasuk kakitangan dan relawan masjid, khususnya belia.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) turut mengumumkan dana Kehidupan Beragama Masyarakat (CRL) bernilai $1 juta bagi menggalakkan pihak masjid agar dapat saling bekerjasama dan berinovasi dengan rakan kongsi yang lain.
Melihat kaunseling sebagai langkah penting untuk terus maju dalam usaha mendekati belia, Ustaz Khushairi berkata:
“Belia bukan sekadar menghadiri program tetapi mempunyai masalah-masalah yang perlu kita bimbing mereka, jadi ilmu dan kemahiran dalam kaunseling itu penting pada pendapat saya.
“Kita sedar berurusan dengan remaja bukan sekadar menganjurkan program, tetapi kita sedang membina hubungan.
“Program itu menjadi satu wadah untuk kita mendekati mereka, mengenali mereka dan memahami keperluan mereka.”
Apabila ditanya mengenai detik yang memberinya kesan, Ustaz Khushairi berkongsi keadaan apabila ibu bapa seorang belia yang menghadiri program yang dianjur mula memberikan kata-kata positif.
“Ibu bapa belia yang kita buat program bersama itu datang kepada saya dan berkata program yang kita rancang untuk anaknya membawa perubahan positif terhadap anak mereka.
“Seorang bapa pernah berkata jika anaknya tidak terlibat dalam program-program di masjid, beliau tidak akan menjadi seperti dirinya sekarang,” ujarnya yang berpendapat usia belia merupakan fasa kritikal dan ibu bapa sering menghadapi cabaran untuk membimbing anak-anak mereka.
Ustaz Khushairi melalui pendidikan sekolah rendah hingga prauniversiti di Madrasah Aljunied Al-Islamiah selama 12 tahun, sebelum memperoleh ijazah sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Syariah Islamiah.
Beliau kemudian mula bertugas di Masjid Darul Ghufran sebagai guru di madrasah masjid itu secara sambilan, sebelum ditawarkan menjadi Pegawai Eksekutif Dakwah bahagian belia pada 2004.
Menerusi pekerjaannya itu, beliau mengorak langkah meningkatkan diri dengan mendapatkan diploma selama satu setengah tahun dalam kaunseling di APMI Kaplan pada 2008, yang ditaja sepenuhnya oleh pihak masjid.
Beliau kemudian mendalami bidang kaunseling dengan mengambil Sarjana Kaunseling di Universiti Monash di Singapura, pada 2011.
Menyingkap perjalanannya bertugas di masjid, bapa tiga anak berusia tujuh, 14 dan 15 tahun itu berkongsi bahawa majikannya telah banyak membentuk dirinya seperti memberinya sokongan untuk terus meningkatkan diri dan menerapkan wawasan dalam dirinya.
“Saya ingat lagi kesungguhan kita, kita nak berikan lebih jadi ketika itu pengerusi (masjid) membawa saya bertemu dengan (pihak) sumber manusia (HR) dan bertanya apakah yang saya ingin capai lima tahun dari sekarang.
“Perbualan seperti itu membuat saya berfikir ke hadapan dan dari situ mereka mengaturkan latihan-latihan yang sesuai untuk mempersiapkan diri saya,” jelasnya.
Ustaz Khushairi turut terkesan dengan perkongsian mantan Mufti, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram, yang berkata bahawa “yang menjadikan masjid itu masjid ialah orang-orangnya dan yang menjadikan masjid bukan masjid juga orang-orangnya”.
Menggariskan peranan masjid dalam dirinya, Ustaz Khushairi berkata:
“Yang menjadikan diri saya sekarang ini orang-orang di dalam masjid itu, dari sudut budaya kerja, yang telah membantu untuk membina dalaman diri sebagai seorang pegawai masjid.
“Kita lebih menyedari apa yang kita lakukan bukan sekadar pekerjaan tetapi satu amanah, kenapa kita memilih berada di masjid ialah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah.
“Ia memberi kita motivasi bahawa kita perlu memberikan lebih daripada apa yang sepatutnya kita berikan.”
Selepas berkhidmat di masjid selama 18 tahun, beliau kini berada di AMP.
Di AMP, tumpuan beliau adalah dalam memberi sokongan kepada pasangan yang menghadapi cabaran perkahwinan melalui Projek Arif.
Projek tersebut menyediakan bimbingan keagamaan, perkahwinan, perubatan dan keibubapaan bagi pasangan.
Mula menggalas tugas itu pada 2023, Ustaz Khushairi mampu menggunakan kededua kemahiran sosial dan agama dalam membimbing pasangan.
“Menggabungkan ilmu agama dengan realiti masyarakat membantu saya menyampaikan ajaran agama dengan cara yang lebih praktikal dan relevan dalam konteks kehidupan moden,” katanya.
Pengalamannya yang luas telah membantu Ustaz Khushairi untuk menjadi lebih matang dalam melihat masalah itu secara menyeluruh.
Memandang ke hadapan, beliau ingin terus menyumbang dalam bidang dakwah dari sudut yang kurang diberi perhatian seperti kaunseling.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg