Kepelbagaian ilmu dan bidang kemahiran dalam kalangan asatizah amat dialu-alukan untuk mempertingkatkan khidmat kepada masyarakat dan jemaah masjid, kata Ustazah Maria Mohd Siddique yang menyertai Masjid Assyakirin sebagai pelatih sejak 2020.
Kini, Ustazah Maria memegang jawatan sepenuh masa sebagai Eksekutif Kanan Masjid Assyakirin.
Di situ, beliau memainkan peranan penting dalam menguruskan hal ehwal agama dan masyarakat masjid, termasuk menyediakan bimbingan rohani, pendidikan dan latihan selain tugas pentadbiran.
Menurut Ustazah Maria, 33 tahun, golongan asatizah kerap dikehendaki memainkan pelbagai peranan selain memberi bimbingan agama.
Ini mendorongnya untuk mengikuti kursus pendek Sijil Kemahiran Asas Kaunseling Islam anjuran Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dengan sokongan Masjid Assyakirin.
“Saya mendapati kursus itu amat berguna dan dapat membantu dalam kerja dan peranan saya sebagai pegawai eksekutif kanan masjid, jadi saya nekad untuk mengambil langkah seterusnya, iaitu mengikuti kursus Diploma Possiswazah Kaunseling Islam juga anjuran Pergas dan ditaja sepenuhnya Masjid Assyakirin, alhamdulillah.”
Kursus dua tahun setengah yang berharga $7,000 itu telah bermula sejak Februari 2024 dan akan berakhir pada pertengahan 2026.
Inisiatif pembangunan kakitangan yang dinamakan Capability Management and Future Proofing (Pengurusan Keupayaan dan Kalis Masa Depan), bertujuan memperkaya masyarakat secara amnya dengan memupuk tenaga kerja yang lebih berpengetahuan dan berkebolehan di dalam masjid.
Bagi Ustazah Maria yang merupakan siswazah sarjana muda dalam jurusan usuluddin dan berbilang media daripada Universiti Islam Selangor (UIS), kursus Kaunseling Islam itu sejajar dengan peranannya kini dan beliau pasti kemahirannya akan memberi manfaat kepada kakitangan, masyarakat masjid dan meningkatkan program jangkauan mereka.
“Jemaah datang dan minta sokongan dari segi rohani dan emosi.
“Di sinilah kemahiran saya memainkan peranan penting untuk menguruskan emosi, mengenal pasti masalah psikologi dan bukan sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum.
“Kadangkala, soalan daripada jemaah perlu bimbingan khusus daripada kakitangan masjid.
“Saya lihat peranan saya adalah untuk meningkatkan dan berkongsi apa yang diajar dengan kakitangan lain juga.”
Menyentuh tentang isu kesihatan mental dan program yang diadakan di Masjid Assyakirin, Ustazah Maria menambah:
“Untuk muamalah (urusan berkaitan kemanusiaan), ia perlukan ilmu, perlu ada sikap ihsan dan ada belas simpati.
“Cara bercakap dan menyoal jemaah juga ada cara tertibnya.
“Saya rasa sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk saya terus berkhidmat dan memberi semula kepada masyarakat,” kata Ustazah Maria.
Beliau terdorong untuk mengikuti Diploma Possiswazah dalam Kaunseling Islam atas pilihan peribadi, nilai-nilai berasaskan agama dan keinginan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Memberi gambaran keseluruhan penajaan jabatan sumber manusia (HR), Pengurus Kanan Jabatan Perkhidmatan dan Pembangunan Korporat, Cik Anisa Ismail, berkata inisiatif itu bermula daripada komitmen untuk membina kapasiti dan kemahiran kakitangan masjid dan kesan mereka terhadap organisasi serta masyarakat.
“Maklum balas daripada kakitangan membantu kami mengukur keberkesanan inisiatif.
“Sekiranya kakitangan berasa yakin dan aktif menggunakan pengetahuan mereka dalam memberi khidmat kepada masjid, kami menganggapnya satu kejayaan,” jelas Cik Anisa.
Setakat ini, lebih 20 kakitangan Masjid Assyakirin telah mendapat sokongan untuk program penambahbaikan dalam pelbagai bidang.
“Antara yang kami telah biayai ialah pengajian syariah sehinggalah pendidikan awal kanak-kanak dan kaunseling.
“Sokongan kewangan yang diberikan berjumlah lebih $150,000, menandakan pelaburan yang besar dalam masa depan kakitangan kami,” tambah Cik Anisa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg