Keinginan menjadi contoh teladan kepada anggota pelatih di bawah perhatiannya mendorong Sarjan Ketiga (3SG) Aiman Hakim Md Roslan melanjutkan pengajian secara sambilan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Berkongsi kepada Berita Harian menerusi panggilan telefon, jurulatih bersama Polis Tentera (MP) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) itu berkata beliau menceburi bidang ketenteraan dan menuntut ijazah sarjana muda serentak kerana ingin mempengaruhi pelatihnya.
“Saya melihat diri saya sebagai pemimpin. Oleh itu, saya harus menjadi pengaruh yang baik kepada yang lain.
“Lagipun, mereka melihat tindakan dan kelakuan saya,” ujar anak bongsu empat beradik itu.
Beliau kini dalam semester kedua jurusan Pengurusan Perniagaan peringkat ijazah sarjana muda, ingin membuktikan bahawa tidak kira bidang apapun yang diceburi, ketekunan akan menjadi kunci ke arah kecemerlangan, tambahnya.
3SG Aiman, 22 tahun, berkata beliau mula menjalani perkhidmatan negara pada September 2023 dan melanjutkan pengajian di SUSS sebagai sebahagian daripada Skim Bekerja Sambil Belajar (WLS) di bawah Kementerian Pertahanan (Mindef).
Diperkenalkan pada 2018, WLS membolehkan NSF mendapat diploma atau sebahagian kredit universiti daripada institut pengajian tinggi (IHL), sambil menjalani perkhidmatan negara sepenuh masa, diikuti perkhidmatan tetap.
Dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Mindef pada 3 Mac, Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How, berkata lebih 650 anggota NSF telah melibatkan diri dalam sembilan WLS – merangkumi pelbagai bidang di keempat-empat cabang SAF.
3SG Aiman berkata beliau sebelum ini tidak merancang menjadi anggota tentera secara tetap, namun berubah pendirian kerana ingin mempertingkatkan diri sambil menggunakan masanya untuk memberi kesan positif kepada individu lain.
“Saya tertarik menjadi anggota tetap kerana saya ingin meraih lebih kemahiran dan menjadi pemimpin bagi membimbing anggota lain,” ujarnya, yang sebelum ini menuntut di Politeknik Temasek (TP) dalam jurusan makanan dan sains kulinari.
Antara kemahiran diraih menerusi pengajiannya di SUSS sejauh ini adalah pengurusan persepsi, yang menurutnya membantu dalam mengurus pelatih, dengan beliau belajar memahami tingkah laku di tempat kerja.
“Menyusuli penglibatan dalam pengajian dan bidang ketenteraan, saya sedar saya dapat membantu orang ramai dan pelatih.
“Malah saya dapat memainkan peranan untuk kekalkan motivasi anak buah dan ubah tanggapan atau persepsi kurang sihat yang mereka ada, sekali gus membina perwatakan masing-masing (secara tidak langsung),” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg