Topic followed successfully
Go to BHkuHasrat jalani NS bermakna tercapai dengan penilaian semula klasifikasi perubatan
Hasrat jalani NS bermakna tercapai dengan penilaian semula klasifikasi perubatan
LCP Noor Aizan Anwari lega Tahap Piawaian Pekerjaan Fizikal (PES) dipertingkat dari E9 ke B1 semula susulan apendiks pecah
Hasrat jalani NS bermakna tercapai dengan penilaian semula klasifikasi perubatan
Tahap Piawaian Pekerjaan Fizikal (PES) Lans Koperal (LCP) Noor Aizan Anwari pernah diturunkan daripada PES B1 kepada PES E9 setelah mengalami masalah kesihatan, di mana apendiksnya pecah pada Disember 2024.
LCP Noor Aizan, 21 tahun, yang merupakan Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) di Pasukan Infantri Berperisai, mengesan perkara itu sewaktu beliau bercuti dan mula terasa sakit yang tajam mencucuk-cucuk di bahagian perut sewaktu makan.
Keadaan itu memerlukan pembedahan segera dan beliau dimasukkan ke hospital selama tiga hari.
Selepas tahap PES LCP Noor Aizan diturunkan, beliau hanya dapat menjalankan tugas ringan seperti menyokong kompani tenteranya semasa latihan luar serta menjalankan tugas pentadbiran dan pengurusan stor selama 84 hari.
“Saya rasa kecewa kerana tidak dapat menyumbang banyak.
“Apabila diturunkan kepada PES E9, saya rasa seperti tidak boleh buat banyak perkara dalam tugasan NS.
“Saya sering tertanya-tanya ‘bagaimana perjalanan NS saya nanti?’,” ceritanya dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH).
Namun, beberapa bulan kemudian, hasil penilaian semula perubatan mengembalikan status PES E9 beliau kepada PES B1, sekali gus membolehkannya kembali menjalankan tugas tempur seharian sebagai anggota Pasukan Infantri Berperisai.
Dalam peranan itu, beliau berpeluang menggantikan rakan-rakan yang tidak dapat hadir semasa latihan atau operasi tertentu.
Beliau juga teruja kerana berpeluang mempelajari pelbagai jenis senjata seperti pelancar bom tangan Matador dan mesingan ringan.
Ini memandangkan keupayaan untuknya kembali menyumbang secara lebih bermakna dalam NS memberinya semangat baru.
Malahan, LCP Noor Aizan begitu lega dengan status PES beliau dikembalikan pada kedudukan asal.
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, mengumumkan Singapura akan menggantikan sistem PES tradisional bagi NSF dengan sistem klasifikasi perubatan baharu lebih terperinci mulai Oktober 2027.
Butiran terperinci mengenai pertukaran ini didedahkan dalam satu kenyataan bersama Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Berbanding hanya gred huruf tunggal (A-E), bakal rekrut akan menerima data mengenai tahap kecergasan perubatan, pengecualian, serta kelayakan untuk pengurangan tempoh perkhidmatan selama dua bulan.
Di bawah sistem PES, yang telah dilaksanakan sejak 1970-an, bakal rekrut di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) diberikan satu status PES daripada A hingga F, yang menentukan tugasan mereka semasa Perkhidmatan Negara (NS).
Ia berdasarkan definisi tradisional mengenai tahap kecergasan operasi.
Mereka yang diberikan PES A - penilaian piawaian tertinggi –dianggap cergas untuk semua aktiviti lapangan, termasuk tugas barisan hadapan dan pertempuran secara langsung.
Mereka yang berada dalam PES C pula boleh menjalankan peranan sokongan perkhidmatan tempur, seperti pengendali semboyan, serta menyandang beberapa jawatan sokongan tempur, termasuk juruteknik angkatan udara.
Anggota dalam PES E pula hanya layak untuk peranan sokongan perkhidmatan tempur, termasuk pakar siber, dan jurusan perkhidmatan seperti pembantu sokongan pentadbiran.
“Peralihan sistem ini adalah sebahagian usaha lebih luas yang dilaksanakan sepanjang tahun bagi membolehkan bakal rekrut menyumbang dengan lebih berkesan kepada NS.
“Memandangkan landskap keselamatan dan pertahanan terus berkembang, SAF dan pasukan Home Team kini mempunyai pelbagai peranan yang lebih besar untuk memenuhi spektrum operasi mereka yang semakin meluas.”
Sistem klasifikasi perubatan yang diperbaharui ini akan membolehkan kira-kira 1,200 anggota NS dikerahkan setiap tahun ke tugasan dan peranan yang sebelum ini mereka tidak layak ceburi, kata Mindef dan MHA.
“Ini sekali gus akan menawarkan lebih banyak peluang kepada mereka mengejar dan memenuhi aspirasi mereka dalam NS,” tambah mereka.
Dalam pada itu, bakal rekrut akan dimaklumkan sama ada mereka ‘Sihat untuk Berkhidmat’ atau ‘Tidak Sihat untuk Berkhidmat’. Mereka yang sihat akan diterima masuk untuk menjalani NS, manakala yang tidak sihat akan dikecualikan.
Kedua, setiap individu akan menerima maklumat terperinci mengenai pengecualian perubatan mereka, yang akan menentukan kelayakan untuk aktiviti serta kerahan tugasan semasa NS. Pengecualian ini berdasarkan keadaan kesihatan masing-masing dan sejajar dengan keupayaan fungsi mereka.
Akhir sekali, bakal rekrut juga akan dimaklumkan mengenai kelayakan mereka untuk pengurangan tempoh NS selama lapan minggu. Mereka yang layak perlu memperoleh sekurang-kurangnya 61 mata dalam Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan (IPPT).
Ini bermakna dalam situasi di mana seorang bakal rekrut menghadapi cabaran kesihatan seperti yang dialami LCP Noor Aizan, mereka akan menerima penilaian lebih tepat dan menyeluruh mengenai tahap kecergasan mereka.
Justeru, dengan sistem klasifikasi perubatan yang diperbaharui ini, anggota NS yang menghadapi cabaran kesihatan sejak awal lagi masih berpeluang menjalani pengalaman NS bermakna.

