SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

S’pura perlu perkasa teknologi pertahanan baru susulan konflik Ukraine, Iran

S’pura perlu perkasa teknologi pertahanan baru susulan konflik Ukraine, Iran

PM Wong: Perubahan dalam peperangan bawa ancaman baru; pertahanan kekal amat penting
Apr 9, 2026 | 5:08 PM

S’pura perlu perkasa teknologi pertahanan baru susulan konflik Ukraine, Iran

Singapura perlu mengambil iktibar daripada konflik di Ukraine dan Iran untuk meningkatkan penggunaan teknologi baru, termasuk sistem tanpa pemandu, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 9 April.

Perubahan dalam peperangan membawa ancaman baru, justeru, penting untuk Singapura membina keupayaannya sendiri, ujar beliau semasa melawat Divisyen keenam Singapura/Markas Sense & Strike di Kem Mandai Hill.

Walaupun usaha ini telah dimulakan, pengalaman terkini memberikan banyak renungan, katanya selepas menyaksikan ujian dron pengawasan yang beroperasi seiring helikopter serangan AH-64D Apache.

Trend penggunaan sistem tanpa pemandu dan kaedah peperangan berbeza jelas kelihatan di Ukraine, dan konflik Iran pula menunjukkan ia bukan lagi sesuatu yang luar biasa.

“Trend ini akan terus bersama kita. Kita perlu belajar bagaimana memanfaatkan teknologi baru dan sistem tanpa pemandu dengan lebih berkesan dalam pendekatan operasi kita,” kata Encik Wong.

“Cabaran baru muncul kerana konflik terkini melibatkan sistem tanpa pemandu. Walaupun dengan pemintas paling canggih, serangan gelombang dron murah oleh pihak lawan sukar ditangkis,” jelas beliau.

Menggantikan kelengkapan yang musnah juga mahal dan memakan masa, tambah beliau.

Encik Wong berkata ini adalah contoh ancaman baru yang memerlukan perhatian Singapura.

Inilah sebab mengapa negara perlu membina keupayaannya sendiri.

Beliau menekankan bahawa aturan dunia yang semakin rapuh menuntut Singapura bersedia menghadapi lebih banyak konflik dan pertempuran pada tahun-tahun mendatang.

Walaupun perhatian kini beralih kepada tenaga disebabkan konflik di Timur Tengah, “pertahanan juga kekal amat penting,” tegasnya.

Semasa lawatan itu, Encik Wong beramah mesra dengan anggota tentera yang menyertai latihan kecekapan lanjutan.

Latihan ini melibatkan lebih 1,200 anggota Perkhidmatan Negara (NS), anggota NS Sepenuh Masa (NSF), dan anggota tetap.

Tujuannya adalah untuk menggabungkan pendekatan pengesanan dan serangan, atau sense-strike, dengan pasukan gerak tempur.

Beliau diiringi oleh Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing; Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Madya Aaron Beng; dan Panglima Tentera Darat, Mejar Jeneral (MG) Cai Dexian.

Mereka meninjau pameran statik keupayaan formasi, termasuk kenderaan udara tanpa pemandu jarak dekat Veloce 15 dan Orbiter 4, serta Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (Himars).

Encik Wong menyatakan bahawa Singapura mengambil iktibar daripada konflik luar negara, memanfaatkan teknologi baru, serta menyesuaikan dan memperbaharui Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Namun, beliau menekankan bahawa ia bukan sekadar membeli aset baru.

“Yang lebih utama ialah bagaimana kita menyatukan keupayaan baru ini merentasi pelbagai bidang – antara operasi dengan pasukan teknologi, serta melangkaui perkhidmatan dalam SAF – agar SAF menjadi lebih berkesan dan mampu mencegah sebarang ancaman dengan lebih ampuh,” katanya.

Encik Wong menegaskan bahawa Singapura sentiasa berwaspada dalam soal pertahanan.

“Apabila berhadapan ancaman, tiada sesiapa akan menyelamatkan kita. Kita perlu berdiri di atas kaki sendiri,” tambahnya.

Atas sebab itu, Singapura membangunkan SAF dan melabur dalamnya sejak awal kemerdekaan, pendirian yang kekal teguh hingga kini.

“Namun, saya tegaskan ia kini lebih genting berbanding dahulu, mengambil kira persekitaran dunia… kerana jika aturan sejagat runtuh, akan wujud kekosongan yang menjurus kepada kekacauan dan ketidakpastian,” tambahnya.

Ini juga bermakna dunia di mana negara lebih cenderung menggunakan kekerasan dan paksaan untuk mencapai matlamat, sekali gus menekan negara kecil seperti Singapura, katanya.

Walaupun fokus perbincangan pada keselamatan dalam bidang kritikal seperti tenaga, makanan dan rantaian bekalan, pertahanan juga memerlukan perhatian khusus.

“Dalam dunia kini, ia bukan sekadar melengkap dan memperkasa SAF, tetapi juga meliputi teknologi, rantaian bekalan pertahanan serta bagaimana menjadi negara yang lebih berdaya tahan.

“Usaha gigih ini akan berterusan bagi memastikan Singapura kekal aman dan terjamin,” ujarnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg