Topic followed successfully
Go to BHkuHasrat mangsa perlanggaran bot di Kepulauan Selatan genggam diploma tak kesampaian
Hasrat mangsa perlanggaran bot di Kepulauan Selatan genggam diploma tak kesampaian
Polis tangkap lelaki 49 tahun kerana kemudi kapal secara cuai
Hasrat mangsa perlanggaran bot di Kepulauan Selatan genggam diploma tak kesampaian
Hari Rabu 8 April, sepatutnya menjadi hari yang penuh debaran dan kegembiraan buat Allahyarham Chua Muhammad Syafidi Irwan.
Namun, takdir menentukan beliau tidak sempat melihat keputusan peperiksaan akhir bagi Diploma dalam Pengurusan Operasi dan Kejuruteraan yang diikutinya selama dua setengah tahun yang lalu.
Allahyarham Syafidi, 37 tahun, yang merupakan Penyelia Kejuruteraan di Tower Transit Singapore (TTS), dijadualkan bakal menamatkan pengajian diploma sambilan tajaan syarikatnya di Politeknik Republic (RP) pada 5 Mei ini.
Bot riadah yang dinaiki Allahyarham Syafidi bersama dua rakan lain bertembung dengan sebuah kapal bekalan di perairan Kepulauan Selatan pada sekitar 4.15 pagi, 27 Mac lalu.
Pasukan Polis Singapura (SPF) memberitahu Berita Harian pada 5 April pihaknya dimaklumkan oleh pihak berkuasa Indonesia pada sekitar 3 petang 30 Mac 2026, mengenai penemuan satu mayat yang terapung di perairan Karimun, Indonesia.
“Mayat itu, dipercayai mangsa hilang akibat pertembungan antara bot riadah dengan sebuah kapal bekalan di perairan Kepulauan Selatan pada 27 Mac, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan kemudian dikeluarkan dari perairan tersebut.
“Seorang lelaki berusia 49 tahun telah ditangkap kerana mengemudi kapal secara cuai. Siasatan polis masih lagi dijalankan.”
Bagi rakan karib dan rakan sekelasnya, Encik Muhammad Faizal Abdullah, 43 tahun, kehilangan arwah amat dirasai, terutamanya apabila memikirkan janji mereka untuk meraikan kejayaan bersama.
“Sepatutnya Mei ini kami semua tamat pengajian bersama. Kami sudah melalui susah senang bersama selama dua setengah tahun dalam kursus ini. “Hari terakhir kami berbual adalah pada Khamis lalu apabila arwah memberitahu beliau bercuti pada hari seterusnya. Tidak sangka itu adalah perbualan terakhir kami,” ujar Encik Faizal dengan nada sebak ketika ditemui di perkuburan Pusara Aman.
Menurut Encik Faizal, yang mengenali arwah lebih enam tahun, Allahyarham Syafidi merupakan ‘tulang belakang’ di bengkel Tower Transit, sebagai rakan kerja tidak pernah lokek ilmu dan sentiasa sedia membantu.
Pengarah Urusan TTS, Encik Winston Toh, turut memuji dedikasi Allahyarham Syafidi yang telah berkhidmat selama sedekad, dinaikkan pangkat daripada jawatan juruteknik kenderaan hingga menjadi penyelia kejuruteraan.
"Beliau merupakan jurutera berbakat yang mempunyai keinginan tinggi untuk belajar... Peninggalannya yang paling ketara ialah replika bas bersaiz sebenar yang dibinanya dari awal, yang kini diletakkan dengan penuh hormat di lobi Depoh Bas Bulim,” kata Encik Toh.
Katanya lagi, Allahyarham Syafidi dikenang sebagai individu baik hatinya yang sentiasa mengukir senyuman kepada rakan sekerja.
Kira-kira 100 kakitangan TTS hadir pada pengebumian Allahyarham Syafidi pada 5 April bagi memberikan penghormatan terakhir.
Encik Toh turut menyampaikan ucapan takziah yang mendalam buat isteri dan anak-anak Allahyarham Syafidi.
Allahyarham Syafidi, anak kedua empat adik-beradik, meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia 10 dan 13 tahun.
Selain aktif dalam kerjaya, arwah juga dikenali sebagai pemancing tegar oleh rakannya, Encik Adam Tan Abdullah, 66 tahun, yang menyifatkan arwah sebagai insan yang sangat ringan tulang sepanjang 15 tahun perkenalan mereka.
“Orangnya sangat baik. Kalau orang tak minta tolong pun, dia tetap sedia membantu. Kehilangannya benar-benar dirasai komuniti pemancing,” katanya.
Seorang ahli keluarga yang enggan namanya disiarkan berkata beliau reda dengan pemergian arwah yang disahkan mati akibat lemas, menurut sijil kematian.
“Kami menganggapnya sebagai satu anugerah di sebalik ujian ini kerana insya-Allah, itu adalah salah satu tanda mati syahid,” kongsi beliau sambil menyifatkan Allahyarham Syafidi sebagai anak, abang, suami dan bapa yang sangat bertanggungjawab serta disayangi ramai kerana sifatnya yang sentiasa tenang dan murah dengan senyuman.

