Penjaga gawang skuad nasional Singapura, Hassan Sunny, telah menderma $10,000 kepada Rumah Kebajikan Muhammadiyah.
Ia merupakan hasil sumbangan peminat daripada China yang menyokong gerai makanannya, Dapur Hassan, di Tampines.
Semasa lawatan ke Rumah Kebajikan Muhammadiyah pada 2 Julai, Hassan berkata beliau memilih Muhammadiyah, sebuah organisasi yang menjaga kanak-kanak yang memerlukan, kerana sebagai seorang bapa kepada empat anak perempuan, beliau memahami keperluan kanak-kanak ini.
“Saya ingin cetuskan senyuman pada wajah mereka kerana bukan mudah untuk kanak-kanak jalani kehidupan mereka sedemikian.
“Bila saya dengar cerita-cerita atau pengalaman mereka, saya amat sedih. Maka saya berharap dapat melihat mereka mengukir senyuman (dengan sumbangan ini)... saya rasa itu sudah memadai,” kata pemain nasional berusia 40 tahun itu.
Menurut Hassan, beliau merasakan bahawa wang itu bukan milknya dan beliau harus menyumbang semula kepada masyarakat.
Keputusan itu dibuat selepas beliau pulang ke Singapura menyusuli perlawanan menentang Thailand di Bangkok, yang menyaksikan beliau berjaya menyelamatkan 11 percubaan lawan ketika Singapura tewas 1-3 di tangan Thailand.
Sejak hari itu, warga China berpusu-pusu melanggani Dapur Hassan, yang akhirnya menjadi tular dan mendapat ‘rezeki’ pelbagai bentuk.
Sehingga kini, pelanggan China itu membentuk 90-95 peratus pelanggannya.
Dengan sumbangan melimpah daripada rakyat China, Hassan kemudian berbincang bersama keluarganya dan membuat keputusan bahawa wang itu adalah bukan miliknya dan ia harus didermakan.
Hassan, yang pernah bekerjasama dengan Rumah Kebajikan Muhammadiyah untuk satu acara Futsal amal mengambil keputusan menyalurkan wang itu ke rumah kebajikan tersebut.
Menurutnya, beliau kagum melihat bagaimana Muhammadiyah melaksanakan acara mereka dan ini dapat membantu kanak-kanak di sana.
Ketua Rumah Kebajikan Muhammadiyah, Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed, berkata sumbangan yang diterima akan membantu dalam operasi rumah kebajikan tersebut.
“Kami rasa terharu dan gembira menerima sumbangan ini kerana ini adalah satu pengiktirafan di atas tanggungjawab kami dalam menjaga anak-anak di rumah kebajikan ini.
“Dan ia dapat memberi kami semangat untuk terus berjuang dan untuk kita terus sumbang kepada masyarakat,” tambah Cik Rahmatunnisa, yang menambah bahawa mereka bakal mengadakan acara Charity Fiesta pada hujung Ogos.
Charity Fiesta ini diadakan untuk masyarakat mengenali Rumah Kebajikan itu dan ia juga merupakan satu wadah untuk mereka mengumpul dana bagi operasi rumah tersebut.
Memandang ke hadapan, Hassan, yang digelar Father of Goalkeeper oleh warga China, berharap sumbangan kecilnya itu dapat membantu rumah kebajikan tersebut.
“Saya bukan datang dari keluarga mewah, jadi saya faham kesukaran yang mereka hadapi. Jadi, sumbangan ini memang menjadi tanggungjawab saya,” ujar Hassan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg