Beberapa hari sebelum perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia menentang Thailand pada 11 Jun, penjaga gawang Singapura, Hassan Sunny, menarik kritikan sebahagian penyokong tempatan dalam wadah dalam talian.
Ini menyusuli kekalahan 0-7 Singapura kepada Korea Selatan di hadapan lebih 49,000 penyokong tuan rumah di Stadium Negara pada 6 Jun.
Ada daripada mereka mempersoalkan keberkesanan beliau menjaga gawang pada umurnya yang sudah 40 tahun.
Namun, beberapa hari sahaja selepas itu, pemain tinggi lampai itu meraih sanjungan dan menjadi wira penyokong bola sepak China setelah beliau menyelamatkan 11 percubaan dalam perlawanan terakhir Singa menentang Thailand.
Aksi Hassan itu, dan jaringan Ikhsan Fandi, membataskan kemenangan Thailand kepada 3-1 – sekali gus membolehkan China mara ke pusingan kelayakan akhir Asia bagi Piala Dunia kerana Thailand perlu menang dengan perbezaan tiga gol untuk mara.
Sebelum itu, China tewas 0-1 kepada Korea Selatan.
Sehari selepas perlawanan menentang Thailand itu, gerai makanan miliknya – Dapur Hassan, di sebuah kedai kopi di Blok 144, Tampines Street 12 – dibanjiri pelanggan yang dipercayai warga China.
Ada daripada mereka dipercayai turut memberi sumbangan kewangan langsung tanpa membeli sembarang hidangan.
Gerai beliau menjual hidangan Melayu seperti nasi padang dan nasi lemak.
Bercakap kepada Berita Harian sebelum sesi latihan Albirex di Stadium Jurong East pada 13 Jun, Hassan berkata:
“Saya diberitahu seawal 8 pagi pada 12 Jun (sehari selepas perlawanan), kedai belum lagi dibuka tetapi sudah ada pelanggan yang tunggu.
“Isteri dan kakitangan saya buat ‘live’ dan hantarkan kepada saya. Mereka juga terperanjat (akan sambutan yang diberikan). Sekitar 10.30 pagi makanan semua sudah laris... biasanya sekitar 2 petang.
“Yang lebih menarik ialah saya boleh anggarkan sekitar 95 peratus pelanggan itu barangkali warganegara China.”
Jumlah transaksi di gerainya begitu tinggi sejak kebelakangan ini hingga berlaku kesesakan sementara, tambahnya.
Hassan juga menghentikan pemindahan wang ke perniagaannya, lebih-lebih melalui kod QR, bagi melindungi keselamatan pelanggan dan mengelakkan mereka ditipu oleh kod QR palsu.
Sambutan hangat bagi perniagaannya adalah “satu detik perubahan haluan besar” bagi Hassan, kerana hanya beberapa hari sebelum itu beliau dilempar komen tidak menyenangkan.
Sungguhpun sudah lali dengan komen negatif atau kritikan, sambutan yang diberikan kepadanya oleh penyokong bola sepak China barangkali adalah “sesuatu yang harus difikirkan” oleh penyokong Singapura dari segi menyantuni pemain, kata Hassan.
“Sungguhpun Thailand gagal mara ke peringkat seterusnya, saya tidak menerima sebarang mesej tidak elok daripada penyokong mereka,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg