Situasi di GRC West Coast kini jauh lebih stabil berbanding setahun lalu (2024), dan Anggota Parlimen (AP) di kawasan itu telah meningkatkan usaha bagi memastikan tiada jurang dalam perkhidmatan walaupun kurang seorang AP, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Beliau menjawab soalan mengenai situasi di kawasan pilihan raya perwakilan kumpulan itu, lebih setahun selepas diketahui bahawa bekas menteri pengangkutan, S. Iswaran, sedang disiasat kerana rasuah.
Iswaran, yang kemudian diberkas dan didakwa, sebelum itu bertanggungjawab bagi kawasan West Coast di GRC itu.
Encik Lee pula menyelia kawasan Boon Lay dalam GRC yang sama.
“Kami terpaksa berhadapan dengan situasi yang sangat malang dengan Encik Iswaran terpaksa berhadapan dengan langkah penguatkuasaan undang-undang.
“Ini adalah ketelusan dan tahap kebertanggungjawapan yang kami tuntut daripada diri kami sendiri – memastikan sistem kekal telus dan kami terus menegakkan kejujuran,” kata Encik Lee dalam temu bual dengan media pada 13 Januari, lapor The Straits Times.
“(Keadaan di lapangan) sudah tentu jauh lebih stabil. Orang yang prihatin tentang apa yang telah berlaku kini telah melihat proses itu terus bergerak lancar.”
Encik Lee berkata beliau dan AP lain di GRC West Coast – Encik Ang Wei Neng, Cik Foo Mee Har dan Cik Rachel Ong – telah meningkatkan usaha untuk menjaga keperluan penduduk.
Menyedari bahawa penduduk bimbang akan berlaku kekurangan dalam perkhidmatan, Encik Lee berkata pasukan West Coast telah berada di lapangan untuk terus menjalankan Sesi Bertemu Penduduk (MPS) dan program khidmat masyarakat.
“Kami telah meningkatkan usaha untuk memastikan tiada jurang dalam perkhidmatan,” katanya.
Iswaran dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada Oktober 2024 selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan – empat pertuduhan mendapatkan barangan berharga sebagai penjawat awam dan satu pertuduhan menghalang perjalanan keadilan.
Encik Lee berkata dalam temu bual pada Disember 2024 bahawa siasatan Iswaran telah mendatangkan kesan besar kepada GRC West Coast.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg