Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah menerima sekitar 22,000 permohonan bagi lapan projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang ditawarkan di tujuh kejiranan dalam sesi tawaran jualan BTO Julai, yang tutup pada 30 Julai.
Hal itu dinyatakan Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, melalui hantaran Facebook beliau pada hari yang sama (30 Julai).
Beliau turut berkata angka itu lebih tinggi berbanding 13,200 permohonan yang diterima dalam jualan BTO pada Februari.
Mengulas lanjut, Encik Chee berkata:
“Kadar permohonan median untuk flat BTO tiga bilik dan ke atas bagi Pemohon Kali Pertama (FT) ialah 1.4, sedikit lebih tinggi berbanding kadar permohonan median sebanyak 1.1 dalam tawaran jualan BTO Februari 2025.
“Jika dibandingkan dengan 2024, kadar ini lebih rendah daripada kadar permohonan median untuk keluarga yang memohon bagi kali pertama dalam tawaran jualan BTO 2024, yang berada dalam lingkungan 1.6 hingga 2.6.”
Kadar permohonan median ialah angka yang mewakili tahap persaingan biasa untuk mendapatkan sebuah flat – iaitu jumlah individu yang memohon bagi setiap unit, berdasarkan nilai pertengahan.
Menurut laporan The Straits Times (ST), flat di Tampines dan Toa Payoh merupakan pilihan paling popular dalam kalangan pembeli rumah kali pertama untuk sesi tawaran flat BTO kali ini.
Permohonan menunjukkan unit yang paling mendapat sambutan ialah flat empat dan lima bilik di Simei Symphony di Tampines.
Hampir lapan pemohon rumah kali pertama bersaing bagi setiap 100 flat lima bilik, dan lebih enam pemohon rumah kali pertama memohon bagi setiap 140 flat empat bilik.
Simei Symphony, yang terletak di Jalan Simei dan Jalan Upper Changi East, merupakan antara empat projek Standard yang ditawarkan dalam jualan BTO Julai.
Flat projek Standard itu tidak mempunyai sekatan tambahan apabila dijual semula, dan mempunyai Tempoh Penginapan Minimum (MOP) selama lima tahun, berbanding 10 tahun bagi projek Plus dan Prime.
Sementara itu, Encik Chee turut berkata kadar permohonan median bagi keluarga Pemohon Kali Pertama, yang memohon flat tiga bilik dan lebih besar untuk Jualan Baki Flat (SBF), telah turun kepada 1.8 berbanding 2.6 pada sesi tawaran jualan SBF Februari 2025.
Kadar permohonan median bagi keluarga Pemohon Kali Pertama dalam tawaran jualan SBF sebelum ini ialah – 6.9 pada Mei 2023; 10.5 pada Februari 2024; dan 2.6 pada Februari 2025.
Pada Oktober 2025, HDB akan melancarkan sekitar 9,100 flat merentasi lapan bandar.
“Kami akan terus memastikan bekalan flat yang kukuh serta campuran projek BTO yang baik di seluruh Singapura bagi memenuhi keperluan perumahan kumpulan pembeli yang berbeza,” ujar Encik Chee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg