Sekitar 19,600 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan dilancarkan pada 2026, termasuk di Ang Mo Kio, Bukit Merah, Sembawang, Toa Payoh, Tampines, Woodlands, dan Yishun.
Daripada jumlah itu, sekitar 4,000 flat dengan masa menunggu lebih singkat akan ditawarkan, membolehkan pemohon menerima kunci flat baru mereka dalam tempoh kurang tiga tahun.
Flat-flat tersebut akan dilancarkan dalam tiga latihan penjualan BTO pada Februari, Jun dan Oktober, merangkumi gabungan flat Standard, Plus dan Prime.
Berkongsi kepada media semasa lawatannya ke ParkEdge@Bidadari pada 8 Januari, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata pemerintah akan terus berusaha menyediakan perumahan awam yang mudah diakses dan pada harga boleh dimampui, serta membantu menstabilkan harga jualan flat semula.
“Harga flat akan ditetapkan berdasarkan tahap pendapatan, dengan memastikan nisbah harga rumah kepada pendapatan serta nisbah pembayaran pinjaman rumah kekal pada tahap yang mampu ditanggung oleh pembeli.
“Pada 2025, sekitar sembilan daripada 10 pembeli kali pertama masih terus mampu membayar pinjaman rumah bulanan mereka dengan menggunakan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sepenuhnya atau dengan wang tunai yang sedikit sahaja,” kata beliau.
Encik Chee menambah bahawa lagi 4,000 flat dengan masa menunggu lebih singkat akan ditawarkan pada 2027, di samping 4,000 flat sedemikian yang akan ditawarkan pada 2026.
“Dengan perkembangan ini, kami berharap dapat terus meningkatkan lagi kadar kemudahan serta kemampuan memiliki flat BTO dan flat jualan semula HDB,” kata beliau, sambil menyifatkan perkembangan tersebut sebagai petanda awal yang menggalakkan.
HDB sebelum ini telah mengumumkan rancangannya untuk menawarkan sekitar 55,000 unit flat BTO dari 2025 hingga 2027.
Namun, sekiranya permintaan bagi flat baru kekal kukuh, Encik Chee berkata HDB akan menawarkan lebih banyak flat BTO melebihi angka tersebut.
“Ini penting kerana bekalan flat BTO yang kukuh bukan sahaja akan menjadikan flat BTO lebih mudah diakses oleh para pembeli, bahkan turut membantu menstabilkan harga flat jualan semula.
“Ini kerana sebahagian daripada permintaan yang akan beralih ke pasaran jualan semula kini dapat dipenuhi melalui pasaran BTO,” kongsi beliau.
Estet ParkEdge@Bidadari merupakan salah satu daripada empat projek BTO terakhir yang siap dibina di estet tersebut pada 2025.
Tiga projek BTO yang lain itu adalah ParkView@Bidadari, Bartley Beacon, dan Bartley GreenRise.
Dengan selesainya pembinaan empat projek BTO itu, ini bermakna kesemua 12 pembangunan perumahan awam di Bidadari kini sudah siap dibina, kata HDB dalam kenyataannya pada 8 Januari.
Secara keseluruhannya, sebanyak 8,872 unit rumah disediakan di seluruh estet Bidadari yang seluas 93 hektar.
Projek yang pertama di estet itu telah dilancarkan pada 2015.
Mengulas lanjut, Encik Chee berkata HDB memastikan setiap projek BTO yang dibina adalah selesa dan sesuai didiami penduduk.
“Kami perlu utamakan penduduk apabila memikirkan reka bentuk kemudahan dan infrastruktur kerana mereka penggunanya.
“Kami mahu penduduk yang tinggal di sini, serta pengunjung, rasa selesa, ingin menikmati kemudahan yang disediakan, dan melalui proses itu, dapat mengenali jiran mereka serta membina ikatan masyarakat yang kukuh,” ujar beliau.
Sebagai contoh, estet Bidadari mempunyai kemudahan seperti pusat beli-belah Woodleigh Mall, Pusat Penjaja Woodleigh Village, dan Taman Bidadari.
Taman Bidadari menampilkan sebuah laluan warisan yang menceritakan sejarah estet berkenaan melalui papan cerita, yang akan dibuka sepenuhnya pada suku ketiga 2026.
Sebuah taman bagi memperingati sejarah Bidadari sebagai salah satu tanah perkuburan tertua di Singapura juga akan dibuka pada suku pertama 2026.
Sementara itu, HDB berkata sebanyak 19,723 flat BTO merentas 28 projek telah dilancarkan pada 2025 secara keseluruhan, dengan tempoh menunggu median untuk mendapatkan flat adalah sekitar empat tahun.
Tiga daripada 28 projek berkenaan adalah projek flat dengan masa menunggu lebih singkat, terdiri daripada 1,124 unit di Parc Clover@Tengah, 390 unit di Hougang Olive, dan 852 unit di Yishun Boardwalk.
“Pada masa ini, terdapat 127 projek perumahan HDB yang sedang dibina, meningkat daripada 110 projek setahun lalu,” kata HDB.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg