Setiap isi rumah rakyat Singapura akan menerima baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $300 mulai 2 Januari, yang sah digunakan sehingga 31 Disember 2026, umum Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran pemberian baucar CDC yang terkini di kelab masyarakat Punggol 21 pada 2 Januari.
Ini merupakan pemberian baucar CDC yang kelapan sejak skim itu kali pertama dilancarkan pada Disember 2021.
Separuh daripada baucar tersebut – atau $150 –boleh digunakan di gerai penjaja dan peniagaan di estet kejiranan, manakala separuh lagi boleh digunakan di pasar raya yang mengambil bahagian dalam skim itu.
Pasar raya yang menerima baucar CDC tersebut ialah Ang Mo Supermarket, Cold Storage, Giant Singapore, HAO Mart, NTUC FairPrice, Prime Supermarket, Sheng Siong, dan U Stars Supermarket.
Peruntukan baucar terkini itu menyusuli pengagihan baucar CDC bernilai $500 pada Mei 2025, sekali gus melengkapkan jumlah $800 baucar CDC yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Belanjawan 2025.
Berucap semasa majlis pelancaran tersebut, Encik Gan berkata baucar CDC itu diberikan bagi memberi bantuan segera kepada isi rumah warga Singapura, sedang pemerintah turut menjalankan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) untuk menjamin masa depan Singapura bagi jangka panjang.
Langkah menyemak strategi ekonomi Singapura itu telah diumumkan Encik Gan pada Ogos 2025, dengan lima jawatankuasa baru dibentuk bagi menetapkan hala tuju jangka panjang ekonomi negara.
“Kami akan membantu syarikat-syarikat kita maju dan mara dalam rantaian nilai, serta melengkapi pekerja dengan kemahiran, keupayaan menyesuaikan diri dan keyakinan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi yang sedang berubah.
“Ini merupakan usaha jangka panjang yang memerlukan kerjasama rapat antara pemerintah, perniagaan, kesatuan sekerja dengan rakyat,” kata beliau.
“Baucar CDC menyediakan jaminan segera serta sokongan praktikal, manakala ESR meletakkan asas bagi masa depan,” tambah Encik Gan.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Mayor yang juga Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling; Mayor CDC South East, Encik Dinesh Vasu Dash; Mayor CDC Central, Cik Denise Phua Lay Peng; Mayor CDC North East, Encik Baey Yam Keng; Timbalan Pengerusi CDC North West, Encik Liang Eng Hwa.
Meskipun ekonomi Singapura berkembang sebanyak 4.8 peratus pada 2025 berdasarkan anggaran awal – didorong oleh prestasi kukuh dalam sektor utama seperti perkilangan, perdagangan borong, kewangan dan insurans – Encik Gan mengingatkan bahawa negara ini harus realistik tentang cabaran yang bakal dihadapi.
Ini sedang rantaian bekalan dibentuk semula, dasar perdagangan menjadi semakin berpecah-belah, dan teknologi – khususnya kecerdasan buatan (AI) – mengubah cara perniagaan beroperasi serta pekerjaan diwujudkan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Mayor, Cik Low Yen Ling, yang juga Mayor CDC South West, berkata jumlah peniaga yang mengambil bahagian dalam skim baucar CDC itu telah meningkat kepada lebih 24,000, berbanding 23,000 pada 2025.
“Rangkaian yang semakin berkembang ini memberikan rakyat Singapura, penduduk di kawasan kejiranan mereka, akses kepada pilihan yang lebih luas bagi perkhidmatan dan barang keperluan asas, termasuk makanan harian, bekalan makanan dan keperluan harian,” ujar beliau semasa berucap di majlis itu.
Bercakap kepada media semasa majlis tersebut, Cik Low menjelaskan bahawa peningkatan dalam jumlah peniaga yang mengambil bahagian itu adalah satu usaha berterusan demi memenuhi keperluan asas rakyat Singapura.
Beliau menukil contoh bagaimana lebih 30 kedai di estet kejiranan telah disertakan dalam skim itu, seperti di estet baru Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Tengah.
“Kami memberi perhatian khusus di estet HDB yang baru untuk memastikan bahawa apabila kedai-kedai dibuka, kami mengambil pendekatan proaktif untuk menilai sama ada produk dan perkhidmatan yang disediakan adalah selaras dengan niat dasar untuk menyokong keperluan harian penduduk,” kongsi beliau.
Menurut Cik Low, secara keseluruhannya, lebih $3.995 bilion telah dibelanjakan sejak pelancaran skim baucar CDC pada Disember 2021, dan juga Baucar SG60 sekali sahaja yang diberikan sempena ulang tahun Singapura yang ke-60 pada 2025.
Ditemui Berita Harian (BH), penduduk Tampines, Cik Nurul Syakirah Ishak, 25 tahun, berkata baucar CDC itu telah membantu keluarganya menampung perbelanjaan barangan dapur mereka.
“Ia telah memberikan bantuan kewangan untuk saya dan ibu bapa saya. Baucar ini juga mendorong kami membeli barangan runcit secara pukal untuk sepanjang tahun, selaras dengan tempoh sah baucar tersebut,” kongsi beliau.
Baucar CDC tersebut boleh ditebus secara dalam talian di go.gov.sg/cdcv.
Rakyat Singapura yang menghadapi cabaran mengakses baucar digital boleh mendapatkan bantuan di kelab masyarakat (CC) serta Hab Masyarakat Digital SG.
Keutamaan akan diberikan kepada warga emas dan individu kurang upaya yang mengunjungi CC untuk mendapatkan bantuan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg