Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB di landasan siapkan 18,000 flat BTO jelang akhir 2024

94 peratus projek yang tertunda akibat pandemik telah siap, baki projek siap awal 2025
Sep 2, 2024 | 4:09 PM
Alkaff Breeze di Bidadari, yang terdiri daripada 353 flat empat bilik dan lima bilik merangkumi tiga blok perumahan, telah siap pada Jun.
Alkaff Breeze di Bidadari, yang terdiri daripada 353 flat empat bilik dan lima bilik merangkumi tiga blok perumahan, telah siap pada Jun. - Foto HDB

Meskipun pembinaan flat tertangguh akibat pandemik Covid-19, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kini berada di landasan yang baik untuk menyiapkan kira-kira 18,000 flat baru daripada 24 projek perumahan menjelang akhir 2024, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Dalam satu catatan Facebook pada 2 September, Encik Lee berkata HDB telah mencapai kemajuan yang baik dan akan menyelesaikan kesemua baki projek yang tertunda akibat pandemik dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Kepada semua pembeli rumah yang sedang menunggu kunci anda, kami sedang membuat kemajuan yang mantap. Menjelang 2025, semua flat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 akan siap.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pembeli rumah atas kesabaran dan ketabahan anda. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan HDB, perunding dan kontraktor kerana telah mempercepatkan pembinaan sambil memastikan keselamatan dan kualiti tidak terjejas,” kata Encik Lee.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 2 September, HDB menyatakan kira-kira 10,500 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) telah siap di 15 projek perumahan setakat Ogos, dan ini termasuk 14 projek yang tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Ia menambah dengan siapnya 14 projek yang tertangguh itu, HDB kini telah selesai membina kira-kira 94 peratus, atau 87 projek, yang tertunda akibat pandemik dari Oktober 2020 hingga Ogos 2024, dengan bakinya bakal siap pada awal 2025.

Mengambil kira penangguhan pembinaan akibat pandemik Covid-19, HDB berkata masa menunggu untuk flat BTO bagi pembeli sehingga kini adalah antara tiga hingga lima tahun.

“Pandemik telah mengganggu program pembinaan kami, dan penangguhan dalam pembinaan telah menyebabkan kesulitan kepada pembeli rumah dan mengganggu banyak rancangan kehidupan mereka.

“Pegawai HDB, perunding dan kontraktor kami telah bekerja rapat sejak beberapa tahun lalu untuk mengejar masa yang hilang untuk menyiapkan projek BTO yang tertangguh ini,” kata Encik Lee.

Antara 15 projek yang telah siap pada 2024 ialah Alkaff Breeze di Bidadari yang terdiri daripada 353 flat empat bilik dan lima bilik merentas tiga blok perumahan.

Sejak pembinaan berakhir pada Jun, sebanyak 290 isi rumah, atau kira-kira 85 peratus daripada 340 unit yang dibeli, telah mendapat kunci mereka setakat 15 Ogos, kata HDB.

Alkaff Breeze merupakan projek perumahan HDB pertama yang berjaya siap tanpa sebarang kelewatan pada 2024, dan ia juga merupakan projek kedua – selepas Keat Hong Verge pada 2023 – yang siap tanpa sebarang kelewatan sejak Pemutus Litar pada 2020.

HDB berkata dengan siapnya Alkaff Breeze, semua flat di daerah Alkaff Bidadari telah dibina, menjadikannya daerah kedua di Bidadari yang siap selepas daerah Woodleigh pada Mei 2023.

Satu lagi projek yang telah siap pada 2024 ialah Tampines GreenGem yang terletak di sempadan Bedok Reservoir Road dan Tampines Street 96, berhampiran stesen MRT Tampines West.

Terdiri daripada 1,086 unit flat Flexi dua bilik, tiga bilik, empat bilik dan lima bilik, Tampines GreenGem telah siap secara berperingkat sejak Disember 2023, dengan blok terakhir siap pada Mac 2024.

Sehingga 15 Ogos, sebanyak 1,014 isi rumah atau kira-kira 98 peratus daripada 1,036 unit yang dibeli telah mendapat kunci flat mereka.

Tampines GreenGem ialah projek perumahan pertama yang siap di Tampines South yang merangkumi projek lain yang telah dilancarkan seperti Tampines GreenQuartz, Tampines GreenEmerald, Tampines GreenJade, Tampines Green Opal dan Tampines Green Topaz.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg