Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijangka melancarkan lebih banyak rumah melebihi sasaran awal 55,000 unit Bina Ikut Tempahan (BTO) bagi 2025 hingga 2027, didorong permintaan perumahan yang kekal kukuh, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Berucap pada simposium perumahan bandar anjuran Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 8 Mei, beliau berkata cabaran perumahan kini lebih rumit daripada sekadar membina flat dalam jumlah yang mencukupi.

Menurutnya, cabaran utama termasuk memastikan flat kekal dengan harga berpatutan dan mudah diperoleh dalam keadaan ekonomi berubah, serta memanfaatkan ruang terhad akibat kekurangan tanah.

Bagi mengatasinya, pemerintah akan membina lebih banyak rumah dengan lebih pantas.

Sebanyak 19,600 unit flat BTO bakal ditawarkan pada 2026, termasuk 4,000 unit yang dijanjikan dengan tempoh menunggu kurang tiga tahun.

Untuk memenuhi permintaan daripada golongan bujang dan warga emas, bekalan flat fleksi dua bilik akan ditingkatkan hampir 50 peratus dari 2026 hingga 2028.

Bekalan perumahan privet juga akan dipertingkatkan, dengan sekitar 12,000 unit termasuk Kondominium Eksekutif (CE) dijangka dilancarkan.

Jumlah itu melebihi 50 peratus berbanding 2024 dan setanding dengan bekalan 2025.

“Kami bersedia melepaskan lebih banyak tanah untuk perumahan privet jika permintaan terus kukuh,” katanya.

Encik Chee berkata pemerintah turut melaksanakan pelbagai dasar bagi memastikan perumahan awam kekal mampu dibeli, termasuk rangka kerja klasifikasi Standard, Plus dan Prime.

Flat Plus dan Prime di tapak lebih menarik menerima subsidi tambahan tetapi tertakluk kepada syarat jualan semula lebih ketat seperti tempoh penghunian sekurang-kurangnya 10 tahun dan pemulangan subsidi apabila dijual semula bagi mengekang spekulasi.

Had pendapatan semasa bagi flat BTO – $14,000 untuk keluarga dan $7,000 untuk golongan bujang – juga sedang dikaji.

Beliau turut menyentuh usaha memperbaharui estet lama memandangkan banyak flat HDB kini menghampiri usia 60 tahun.

Encik Chee berkata pusingan kedua Program Peningkatan Rumah (HIP) akan diperkenalkan bagi flat berusia antara 60 dengan 70 tahun.

Pusingan pertama HIP menaik taraf estet lama sekitar usia 30 tahun dan membaiki masalah biasa seperti konkrit mengelupas.

Menurut Encik Chee, pusingan kedua naik taraf HIP yang dikenali sebagai HIP II akan lebih menyeluruh dan menggunakan teknologi seperti pengimbasan gelombang mikro untuk mengesan kebocoran air.

Penduduk HDB juga akan mendapat manfaat daripada program seperti Program Pembaharuan Kejiranan dan Program Naik Taraf Warga Emas bagi meningkatkan kemudahan estet.

Pemerintah juga akan menambah perumahan di bandar lama untuk membawa kemudahan baru kepada penduduk semasa dan yang baru.

Sebagai contoh, projek BTO 1,600 unit berhampiran Stesen MRT Caldecott di Toa Payoh West akan dilancarkan pada Oktober.

Sebuah projek BTO 60 tingkat di Pearl’s Hill pula akan membawa kembali perumahan awam ke pusat bandar.

Mengenai Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (Vers), Encik Chee berkata skim itu akan membolehkan pemerintah membangunkan semula bandar lama secara berperingkat.

Vers membolehkan pemilik flat yang unit tersebut sudah berusia 70 tahun ke atas, mengundi sama ada pemerintah perlu membeli semula rumah mereka sebelum pajakan 99 tahun tamat.

Menurut beliau, Vers juga dapat mengelakkan pemindahan besar-besaran penduduk serentak memandangkan banyak estet lama dibangunkan pesat pada 1970-an dan 1980-an.

Beliau berkata pada Ogos 2025 bahawa program itu akan dimulakan di beberapa tapak pada awal 2030-an sebelum diperluaskan menjelang penghujung dekad tersebut.