Sembilan lagi projek Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Tengah bakal dilengkapi dengan sistem penyejukan terpusat yang akan dibina dan dikendalikan oleh pengurus aset sejagat, Keppel.

Kontrak selama 20 tahun itu akan merangkumi sekitar 10,000 isi rumah di daerah Brickland, Park, dan Forest Hill yang bakal dibangunkan di Tengah, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta Keppel, dalam satu kenyataan bersama pada 16 April.

Perkembangan itu menyusul selepas Keppel dianugerahkan kontrak menguruskan sistem penyejukan bagi tiga projek BTO pada September 2024. 

Projek berkenaan masih dalam proses pembinaan.

Secara keseluruhan, sebanyak 14,000 isi rumah akan mempunyai akses kepada sistem penyejukan pusat yang diuruskan Keppel, ujar kenyataan tersebut.

Pembeli flat HDB di Tengah mempunyai pilihan untuk melanggan perkhidmatan penyejukan terpusat itu.

Sistem sedemikian menggunakan air sejuk yang disalurkan ke rumah dari mesin pendingin terpusat, tanpa memerlukan pembeli rumah memasang unit kondenser sendiri.

Kaedah itu – yang menggunakan sehingga 30 peratus kurang tenaga – diiktiraf sebagai penyelesaian penyejukan lebih cekap tenaga berbanding penyaman udara konvensional.

Syarikat perbekalan SP Group yang telah dianugerahkan kontrak sistem penyejukan terpusat pertama di Tengah, menguruskan sistem itu di 17 projek BTO.

Namun pelaksanaannya pada Ogos 2023 – dijalankan dengan kerjasama syarikat pengilang Daikin – dilanda dengan laporan isu pemeluwapan dan kebocoran.

Menurut syarikat tersebut, isu berkenaan berpunca daripada jadual padat disebabkan pembinaan yang tergendala semasa pandemik Covid-19.

Pada Februari 2024, SP menyatakan ia mempunyai lebih 9,000 pelanggan bagi sistem penyejukan tersebut, merosot daripada 10,600 pelanggan pada November 2023.

Dalam kenyataan pada 16 April, Pengarah Eksekutif Tenaga-sebagai-Perkhidmatan (EaaS) di Keppel, Encik Poh Tiong Keng, berkata pemilik rumah yang melanggan perkhidmatannya akan meraih manfaat daripada “sistem moden yang terbukti dan direka untuk keandalan serta kecekapan jangka panjang”.

Syarikat itu menambah, ia akan menggabungkan ciri kejuruteraan dan reka bentuk bagi meningkatkan prestasi, serta menjadikan sistem tersebut lebih bersepadu dengan struktur dalaman rumah.

“Di dalam unit flat, reka bentuk dan kedudukan paip air sejuk akan dioptimumkan dengan mempertimbangkan estetik dalaman rumah seboleh mungkin, sekali gus memberi fleksibiliti kepada penduduk dalam merancang susun atur rumah mereka,” kata HDB dan Keppel.

Sistem penyejukan tersebut juga akan disambungkan ke pusat kawalan operasi Keppel di Changi, dan kakitangan boleh mengawal sistem dari jarak jauh serta memantau prestasi sistem tersebut mengikut masa nyata.

Keppel sebelum ini telah dianugerahkan kontrak bagi projek penyejukan di bahagian barat Singapura, seperti penyejukan daerah bagi Kawasan Inovasi Jurong dan Kawasan Tasik Jurong.

Pemilik rumah boleh mengunjungi studio Keppel di Hab HDB di Toa Payoh untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sistem penyejukan tersebut.

Mereka juga boleh melihat reka bentuk sistem penyejukan Keppel melalui model contoh sebuah unit rumah.