HDB: Jualan baki flat BTO ditawar kepada semua warga S’pura agar ‘adil’
HDB: Jualan baki flat BTO ditawar kepada semua warga S’pura agar ‘adil’
HDB: Jualan baki flat BTO ditawar kepada semua warga S’pura agar ‘adil’
Baki flat daripada pelancaran Bina Ikut Tempahan (BTO) yang lalu kini tersedia untuk semua warga Singapura, bukan hanya pemohon daripada pelancaran awal tersebut, bagi memastikan semua orang mendapat “peluang memohon melalui proses yang adil”.
Demikian jelas Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Flat-flat itu – termasuk yang tidak terjual, tidak dipilih, atau dipulangkan daripada pelancaran BTO sebelumnya – ditawarkan hanya melalui Jualan Baki Flat (SBF) setelah semua pemohon BTO yang layak telah membuat pilihan, tertakluk kepada kuota etnik.
HDB pada 14 Mac memperjelas bagaimana flat-flat menjadi bekalan SBF, bagi menjawab video TikTok pengguna, @xinandxuan, yang dikendalikan dua beradik, pada 3 Mac.
HDB mengenal pasti wanita dalam video itu sebagai Cik ‘Chua’.
Dalam video itu, Cik Chua telah mempersoalkan sejumlah besar flat yang tersedia sebagai unit SBF daripada beberapa pelancaran BTO baru-baru ini.
Beliau mendakwa tidak dimaklumkan tentang flat baki daripada sebuah projek di Bukit Merah yang dilancarkan pada Mei 2022 yang beliau mohon tetapi gagal.
Beliau telah memohon salah satu daripada 1,226 flat empat bilik yang ditawarkan dalam projek Bukit Merah Ridge itu dan menerima nombor giliran 3,120 selepas undian.
Dalam e-mel makluman nombor giliran, HDB menyatakan bahawa nombor Cik Chua melebihi jumlah unit yang ditawarkan.
“Namun, kami akan pantau pengambilan flat semasa pemilihan dan akan memberitahu anda jika ada flat tersedia untuk kumpulan etnik anda, sebelum giliran anda tiba,” jelas HDB dalam e-mel itu.
Dalam video pada 3 Mac itu, Cik Chua mendakwa beliau tidak dimaklumkan masih terdapat flat dalam projek tersebut.
Beliau memetik artikel Straits Times (ST) 28 Februari yang menyebut 202 unit empat bilik di Bukit Merah Ridge ditawarkan dalam SBF terkini, yang ditutup pada 11 Februari.
“Saya faham ada yang telah memilih unit dan melepaskannya, tetapi jika lebih 200 unit dikembalikan – itu tidak masuk akal,” ujar Cik Chua dalam video tersebut.
Menurutnya, tidak adil jika beliau tidak berpeluang memilih unit di Bukit Merah Ridge semasa pemilihan BTO itu, namun unit yang tidak terjual kini dalam SBF seterusnya.
Beberapa media melaporkan mengenai video asal Cik Chua, apabila beliau mendakwa telah membuat permohonan “selama kira-kira tiga tahun, mencuba lebih kurang 13 kali, tetapi hampa”.
Menjawab pada 14 Mac, HDB berkata beberapa flat dalam SBF sebelum ini telah dipilih dalam proses BTO, tetapi kemudian dipulangkan atau dibatalkan kerana terdapat perubahan rancangan atau keadaan pemohon.
Lembaga itu menyatakan bahawa Cik Chua telah membuat 11 permohonan flat empat bilik dalam BTO dan SBF antara November 2020 dengan Mei 2023.
“Semua permohonannya adalah bagi flat di lokasi popular seperti Kallang/Whampoa dan Bukit Merah, di mana permintaan jauh melebihi bekalan, justeru beliau gagal menempah flat dalam 10 permohonan pertama,” kata HDB.

