HDB lancar 9,012 flat BTO, baki flat; tempoh tunggu lebih singkat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB lancar 9,012 flat BTO, baki flat; tempoh tunggu lebih singkat

Enam projek BTO di Bukit Merah, Sembawang, Tampines dan Toa Payoh
Feb 4, 2026 | 3:16 PM

HDB lancar 9,012 flat BTO, baki flat; tempoh tunggu lebih singkat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
HDB, BTO Februari 2026, BTO Tampines, BTO Redhill Peaks, Flat Plus dan Prime, Harga BTO 2026, Toa Payoh, Sembawang
Lakaran artis bagi projek Redhill Peaks yang menawarkan 1,052 unit flat dua bilik fleksi, tiga dan empat bilik di Jalan Bukit Merah dan Redhill Close. - Foto HDB

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 4,692 unit flat Bina Ikut Tempahan (BTO) untuk dijual pada 4 Februari, termasuk sekitar 1,300 unit di Tampines dan Sembawang dengan tempoh menunggu lebih singkat, iaitu kurang daripada tiga tahun.

Secara keseluruhan, enam projek BTO ditawarkan di Bukit Merah, Sembawang, Tampines dan Toa Payoh.

Selain itu, 4,320 unit baki flat turut ditawarkan, dengan sekitar satu daripada lima unit telah siap dibina dan sedia untuk pembeli pindah masuk.

Sebahagian besar penjualan baki flat (SBF) – daripada penjualan BTO terdahulu – terdiri daripada flat Prime dan Plus di Bukit Merah, Kallang/Whampoa dan Queenstown, serta Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA).

Kadar pemulangan subsidi bagi projek Prime Redhill Peaks di Bukit Merah ditetapkan pada 12 peratus.

Manakala kadar pemulangan subsidi bagi dua projek Plus, iaitu Kim Keat Crest di Toa Payoh dan Tampines Nova, ditetapkan pada 6 peratus.

Flat di bawah kategori Prime dan Plus terletak lebih dekat dengan pusat bandar, kemudahan dan lokasi pengambilan penumpang bagi pengangkutan awam.

Namun, ia mempunyai syarat penjualan semula lebih ketat, termasuk tempoh penginapan minimum (MOP) 10 tahun dan pemulangan subsidi apabila dijual semula.

Pemulangan subsidi bermaksud apabila flat tersebut dijual, pemilik perlu membayar HDB sebahagian daripada harga jualan semula atau harga penilaian, mengikut mana yang lebih tinggi.

Tiga lagi projek, satu di Tampines dan dua di Sembawang, merupakan flat di bawah kategori Standard.

Flat jenis ini tidak mempunyai klausa pemulangan subsidi apabila dijual dan mempunyai MOP lima tahun.

Menurut HDB, sekitar lapan daripada 10 unit BTO yang ditawarkan mempunyai tempoh menunggu kurang empat tahun.

Projek flat Prime Redhill Peaks akan menawarkan 1,052 unit flat dua bilik fleksi, tiga dan empat bilik di Jalan Bukit Merah dan Redhill Close, yang terletak lima minit jarak berjalan kaki dari stesen MRT Redhill.

Pembeli perlu menunggu empat tahun tujuh bulan untuk flat ini, tempoh menunggu paling lama dalam penjualan kali ini.

Harga (tanpa subsidi) bagi unit dua bilik fleksi ditetapkan antara $215,000 dengan $373,000, manakala unit tiga bilik berharga antara $385,000 dengan $537,000.

Bagi flat empat bilik ia berharga antara $563,000 dengan $783,000.

Projek flat Plus Tampines Nova menawarkan 255 unit flat dua bilik fleksi dan empat bilik, di tengah-tengah Tampines Central.

Lakaran artis bagi projek flat Tampines Nova yang menawarkan 255 unit flat dua bilik fleksi dan empat bilik, di tengah-tengah Tampines Central.
Lakaran artis bagi projek flat Tampines Nova yang menawarkan 255 unit flat dua bilik fleksi dan empat bilik, di tengah-tengah Tampines Central. - Foto HDB

Terletak di kawasan antara Tampines Avenue 5, Tampines Central 8 dan Tampines Concourse, ia hanya sekitar lima minit berjalan kaki dari stesen MRT Tampines dan Our Tampines Hub (OTH).

Tempoh menunggu bagi flat Tampines Nova dua tahun lapan bulan.

Harga (tanpa subsidi) bagi unit dua bilik fleksi ditetapkan antara $197,000 dengan $292,000, manakala unit empat bilik berharga antara  $459,000 dengan $602,000.

Projek lain di kawasan perumahan itu, Tampines Bliss, adalah projek Standard yang menempatkan 284 unit flat tiga dan empat bilik di Tampines Avenue 2 dan Tampines Street 22.

Tempoh menunggu bagi flat di sini sekitar dua tahun.

HDB berkata projek ini antara flat dengan tempoh siap paling pantas sejak pengenalan projek menunggu lebih singkat pada 2018, iaitu projek yang sudah mula dibina ketika dilancarkan.

Sementara itu, tempoh menunggu bagi projek Sembawang Deck ialah dua tahun sembilan bulan dan tiga tahun sebulan bagi Kim Keat Crest.

HDB berkata pemohon yang ingin meningkatkan peluang untuk mendapatkan flat digalakkan memohon projek dengan kadar permohonan lebih rendah, seperti kadar satu atau kurang.

Permohonan akan ditutup pada 11.59 malam, 11 Februari di Portal Flat HDB.

Dalam penjualan BTO seterusnya pada Jun, HDB akan menawarkan sekitar 6,900 unit flat di Ang Mo Kio, Bishan, Bukit Merah, Sembawang dan Woodlands.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg