Flat yang dipilih untuk Program Peningkatan Rumah (HIP) pada 2024, akan meraih manfaat daripada kaedah Pembaikan Tahan Hakisan (CRR) baru.
Kaedah CRR itu boleh mengurangkan kemungkinan berlakunya pengelupasan konkrit (spalling concrete) secara berulang di tempat yang sama.
Demikian dinyatakan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 28 Julai.
Ia melibatkan penggunaan salutan kalis hakisan pada keseluruhan siling tandas untuk melindungi struktur konkrit daripada bahan menghakis, dan ditambah dengan lapisan pelekat untuk ‘melekatkan’ lapisan salutan dengan lebih baik pada konkrit.
HDB telah menggunakan kaedah itu dengan jaya di lebih 300 tandas di flat yang menjalani HIP semasa tempoh percubaan awal bermula pada November 2021.
Menurut HDB, pemeriksaan yang dilakukan di flat tersebut menunjukkan tiada masalah pengelupasan konkrit yang baru di tandas-tandas tersebut.
Pengelupasan konkrit atau retak adalah isu biasa bagi bangunan lama, terutama di kawasan rumah dengan keadaan persekitaran yang lembap, seperti dapur dan tandas.
Ia sebahagian besarnya disebabkan oleh pengkarbonan, yang menyebabkan batang keluli yang tertanam di dalam siling terhakis, seterusnya menyebabkan konkrit retak dan membonjol.
Secara umum, ia dapat dicegah melalui langkah penyelenggaraan oleh pemilik flat seperti dengan memastikan kawasan itu mempunyai pengudaraan yang baik.
Namun di kawasan yang terdedah kepada tahap kelembapan yang tinggi seperti tandas, hakisan masih boleh berlaku akibat pendedahan yang berpanjangan kepada kelembapan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg