Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kabin sauna luar unit flat di Serangoon telah dialihkan

Jul 11, 2024 | 12:18 PM
Struktur sauna yang berada di luar unit flat di Serangoon ini dilapor telah ditanggal dan dialihkan sekitar 2 petang pada 11 Julai.
Struktur sauna yang berada di luar unit flat di Serangoon ini dilapor telah ditanggal dan dialihkan sekitar 2 petang pada 11 Julai. - Foto ZAOBAO

Kabin sauna yang diletakkan di luar sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah dialihkan pada 11 Julai, selepas foto struktur kayu itu menjadi tular dalam talian sejak beberapa hari lalu.

Satu laporan Lianhe Zaobao (ZB) pada 11 Julai menyatakan bahawa kakitangan Majlis Bandaran Marine Parade telah mengalihkan beberapa struktur sauna itu sekitar 2 petang.

Sebagai respons kepada The Straits Times (ST), jurucakap Majlis Bandaran Marine Parade menyatakan:

“Pemilik flat telah meminta majlis bandaran kami semalam untuk mengalihkan struktur sauna itu, dan dengan bantuan kami, ia dialihkan daripada ruang bersama tersebut.

“Pemilik (flat) telah membuat satu lagi janji temu dengan majlis bandaran untuk membersihkan ruang tersebut. Kami akan bekerjasama dengannya untuk berbuat demikian.”

Kabin sauna yang ditanggalkan itu kemudian dilihat di tempat pembuangan sampah di Blok 419, Serangoon Central pada sekitar 5 petang, lapor ST.

Akhbar ST sebelum ini difahamkan bahawa kabin itu adalah milik penghuni unit yang menginap bertentangan dengannya.

Namun, tiada sesiapa yang membuka pintu ketika ST mengunjungi flat tersebut pada petang 10 Julai.

Diletakkan di atas platform, kabin itu kelihatan cukup luas untuk memuatkan sehingga dua orang dewasa, dan kelihatan tidak lagi digunakan.

Terdapat juga lebih 40 pokok pasu mengelilingi flat dan mendereti koridor, bersama-sama barangan lain seperti kabinet, basikal dan sofa.

Jalur kertas merah dengan perkataan dalam bahasa Cina turut tertampal di dinding di luar unit itu.

Jarak antara dinding dengan kabinet yang diletakkan di sepanjang koridor itu adalah kira-kira 1 meter.

Bagi menjawab pertanyaan ST, Majlis Bandaran Marine Parade berkata ia telah menasihatkan pemilik berkenaan supaya mengurangkan barang yang menyemakkan, di luar unitnya selama bertahun-tahun, dan pemilik itu telah “berusaha berbuat demikian”, tanpa memberi butirannya.

Majlis bandaran tersebut turut menggesa penduduk supaya jangan memasang struktur yang tidak dibenarkan di kawasan umum, mengurangkan barangan bersepah, dan tidak menghalang koridor, tangga dan kawasan antara tangga.

Jiran di tingkat yang sama, enggan ditemu bual apabila didekati ST, tetapi seorang penduduk berusia 20 tahun sebelum ini memberitahu akhbar ZB bahawa penduduk lain telah mengadu kepada pihak berkuasa tentang barangan semak itu, tetapi keadaan tidak banyak berubah.

Pada 2019, seorang pemilik flat di Tampines yang meletakkan tangki ikan koi di tangga unitnya telah membuka tangki itu, selepas rayuan beliau untuk mengekalkannya ditolak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg