Tempoh tunggu lebih singkat bagi 1,300 flat BTO di Tampines, Sembawang
Tempoh tunggu lebih singkat bagi 1,300 flat BTO di Tampines, Sembawang
Sekitar 1,300 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dengan tempoh menunggu lebih singkat, iaitu kurang daripada tiga tahun, akan ditawarkan dalam pilihan penjualan Februari akan datang melibatkan tiga projek di Tampines dan Sembawang.
Menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 31 Januari, projek Tampines Bliss yang mempunyai 284 unit di Tampines Avenue 2 dan Tampines Street 22, akan mencatat tempoh menunggu paling singkat, iaitu satu tahun 11 bulan.
Ini antara tempoh persiapan flat BTO terpantas sejak skim tempoh menunggu lebih singkat diperkenalkan pada 2018.
Selain itu, lebih 4,300 flat baki akan turut ditawarkan, melebihi 3,000 unit yang pada awalnya ditetapkan oleh HDB pada Oktober 2025.
Pelancaran flat baki membolehkan pembeli memohon flat daripada pilihan BTO terdahulu pada pelbagai peringkat pembinaan.
HDB memaklumkan kira-kira satu daripada lima unit telah siap, manakala selebihnya masih dalam pembinaan.
Tarikh pelancaran belum diumumkan.
Tampines Bliss terdiri daripada flat tiga dan empat bilik dalam tiga blok 10 tingkat, serta dilengkapi taman permainan, kawasan kecergasan, taman terapeutik, kedai makan dan prasekolah.
Penduduk boleh mengunjungi Penghubung Taman Tampines, Taman Bedok Reservoir dan Taman Pasir Ris Town melalui koridor hijau dalam kawasan projek.
Satu lagi projek di estet tersebut, Tampines Nova, terletak di tengah Tampines Central dan mempunyai tempoh menunggu dua tahun lapan bulan.
Projek itu merangkumi 255 unit flat dua bilik fleksi dan empat bilik, yang terletak kira-kira lima minit berjalan kaki dari stesen MRT Tampines dan Our Tampines Hub (OTH).
HDB memaklumkan projek itu bersambung ke laluan berbasikal dan kawasan hijau, termasuk Taman Sun Plaza, Taman Tampines Boulevard, Taman Tampines Central dan Sungei Tampines.
Projek Sembawang Deck pula, yang terletak di kawasan perumahan baru Sembawang North, mempunyai tempoh menunggu dua tahun sembilan bulan.
Ia merangkumi 777 unit flat dua hingga lima bilik dan akan dilengkapi kemudahan seperti prasekolah, kedai makan dan pasar raya mini.
Kawasan itu turut disokong oleh kemudahan sedia ada seperti Sembawang Mart, Sun Plaza, Bukit Canberra, sebuah pusat sukan dan masyarakat bersepadu berhampiran stesen MRT Sembawang.
Langkah itu sebahagian daripada usaha HDB melancarkan 4,000 flat setahun pada 2026 dan 2027 bagi mengurangkan tempoh menunggu.
Selain itu, Kim Keat Crest di Toa Payoh mempunyai tempoh menunggu tiga tahun satu bulan dan merangkumi 1,151 unit flat dua bilik fleksi hingga empat bilik serta sebuah blok sewa.
HDB berkata Pembangunan Bersepadu Toa Payoh di sekitar Lorong 6 Toa Payoh itu akan menyediakan poliklinik, perpustakaan, taman dan kemudahan sukan apabila siap.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, sebelum ini berkata pembangunan itu dijangka siap sebelum Pilihan Raya Umum (GE) akan datang.
Secara keseluruhan, 4,692 flat BTO akan ditawarkan merangkumi enam projek di Bukit Merah, Sembawang, Tampines dan Toa Payoh.
Pemerhati industri berkata projek itu memenuhi keperluan perumahan segera.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ERA Singapore, Encik Eugene Lim, berkata langkah tersebut menegaskan usaha pemerintah menyediakan perumahan tepat pada masanya, khususnya bagi pasangan muda dan keluarga yang memerlukan.
Beliau menambah langkah itu mengurangkan keperluan perumahan sementara seperti menyewa, yang boleh menelan kos tinggi dan menghakis simpanan.
Beliau juga menjelaskan tempoh menunggu lebih singkat tidak menjejas mutu estet atau kemudahan kejiranan.
Projek BTO, lazimnya, mengambil masa tiga hingga lima tahun, manakala projek flat Masa Tunggu Lebih Singkat (SWT) memulakan pembinaan lebih awal bagi mempercepat penyerahan.
Pendekatan ini, disokong reka bentuk cekap dan pembinaan yang lebih lancar, memberi HDB kelonggaran menyelaras bekalan perumahan.
Encik Lim berkata projek SWT di Sembawang, Tampines dan Kim Keat menawarkan campuran flat tiga hingga empat bilik, memenuhi keperluan kebanyakan isi rumah.
Sembawang Deck turut menawarkan flat lima bilik, memenuhi keperluan pembeli yang mementingkan masa dan ruang.
Beliau berkata projek di Tampines dan Kim Keat dijangka menerima permintaan tinggi, dengan pelancaran terkini di Tampines dan Toa Payoh menarik minat kukuh pembeli kali pertama, mencerminkan permintaan berterusan di kawasan matang dan strategik.

