Flat awam di Tanjong Rhu Riverfront I dan II, serta Holland Vista, telah ditawarkan di bawah model perumahan awam lokasi utama (PLH) yang kekal pada harga dimampui, demikian jaminan yang diberikan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Seperti flat Bina Ikut Tempahan (BTO) lainnya, flat PLH berharga lebih rendah daripada flat jualan semula dalam keadaan serupa, dengan mengambil kira lokasi, ciri flat dan keadaan pasaran semasa.
Perumahan awam Tanjong Rhu Riverfront I dan Tanjong Rhu Riverfront II terletak di Kallang/Whampoa, manakala Holland Vista pula di Queenstown.
Menurut HDB lagi, flat PLH ini dijual pada harga yang turut menarik subsidi tambahan di samping diskaun pasaran yang besar yang terpakai bagi semua flat BTO.
Ini akan memastikan rakyat Singapura yang mempunyai kemampuan dan keperluan berbeza dapat memilikinya.
Untuk mengekalkan kesamarataan dengan pemilik flat BTO lain yang tidak diberikan subsidi tambahan ini, pemilik flat PLH kelak dikehendaki membayar HDB peratusan daripada harga jualan semula atau penilaian flat – yang mana lebih tinggi – apabila menjualnya nanti.
Ini selepas memenuhi 10 tahun Tempoh Penginapan Minimum (MOP).
Dengan subsidi tambahan dan diskaun pasaran besar yang telah terpakai untuk semua flat BTO, harga jualan projek PLH ini akan jauh lebih rendah daripada harga urus niaga flat jualan semula setanding berdekatan.
Untuk lebih adil, pemilik flat di tiga projek ini akan dikenakan pembayaran balik subsidi lebih tinggi setelah menjual flat mereka.
Pembayaran balik subsidi tersebut ditetapkan pada sembilan peratus daripada harga jualan semula atau taksiran flat, yang mana lebih tinggi.
Ia sepadan dengan subsidi tambahan yang ditawarkan, terang HDB lagi.
Sebanyak 20 peratus daripada flat PLH akan diketepikan bagi keluarga yang memohon buat pertama kali, manakala 2 peratus dikhususkan bagi keluarga pemohon kali kedua di bawah Skim Keutamaan Anak Sudah Berumah Tangga (MCPS).
HDB telah melancarkan sebanyak 6,938 flat untuk dijual pada 19 Jun untuk penjualan, merangkumi lapan projek di Jurong East, Kallang/Whampoa, Queenstown, Tampines, Woodlands dan Yishun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg