Lebih 1,350 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Woodlands dan Tampines – dengan waktu menunggu kira-kira tiga tahun – akan dilancarkan pada Jun 2024.
Daripada jumlah itu, 790 flat akan ditawarkan di bawah projek Marsiling Peak I di Woodlands dengan masa menunggu dua tahun 11 bulan.
Ini menjadikannya kumpulan pertama flat Masa Tunggu Lebih Singkat (SWT) yang dilancarkan pada 2024, kata HDB dalam satu kenyataan pada 16 Jun.
Sebuah lagi projek ialah Tampines GreenTopaz dekat stesen MRT Tampines West. Ia menawarkan 560 flat dengan masa menunggu tiga tahun satu bulan.
Secara keseluruhan, 1,352 flat yang ditawarkan menerusi dua projek itu membentuk sekitar 20 peratus bekalan flat yang ditawarkan dalam pelancaran jualan flat BTO dalam Jun.
Menurut HDB, lebih 2,800 flat SWT akan ditawarkan pada 2024. Ini merangkumi flat di bawah projek Marsiling Peak I dan lebih 2,000 flat yang akan ditawarkan semasa pelancaran jualan Oktober.
HDB berkata ia memberi komitmen pada 2023 untuk melancarkan 2,000 hingga 3,000 flat SWT – dengan waktu menunggu kurang tiga tahun – setiap tahun menjelang 2025.
“Hasil kerjasama rapat dengan agensi lain dan rakan binaan kami, HDB kini boleh melaksanakannya setahun sebelum dijadualkan, iaitu pada 2024,” katanya.
HDB menambah bahawa ia akan terus menyesuaikan program pembinaannya dari semasa ke semasa supaya flat SWT serta flat yang mempunyai waktu menunggu empat tahun dan ke bawah membentuk bahagian lebih besar bekalan flat baru.
Projek Marsiling Peak I dan Tampines GreenTopaz menawarkan pelbagai jenis flat, termasuk dua bilik fleksi hingga flat lima bilik, untuk memenuhi keperluan pembeli flat yang pelbagai.
Projek Marsiling Peak I terdiri daripada tiga blok dengan ketinggian antara 31 dengan 35 tingkat.
Pembangunan itu terletak berdekatan Pusat Pemeriksaan Woodlands, dengan stesen MRT Woodlands dan Woodlands North kira-kira dua kilometer darinya.
Projek Tampines GreenTopaz, yang terletak dekat Tampines Avenue 1 dan Tampines Street 92, pula terdiri daripada empat blok yang mempunyai 12 atau 13 tingkat.
Salah satu blok turut menempatkan lagi 24 flat sewa.
Pembangunan itu terletak berdekatan kemudahan seperti pasar raya, kedai kejiranan, Penghubung Taman Tampines dan stesen MRT Tampines West.
Lebih 6,800 flat akan dilancarkan pada Jun termasuk projek lain seperti di Jurong East, Kallang/Whampoa, Queenstown dan Yishun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg