Topik diikuti
Pergi ke BHkuHDB rancang kejiranan baharu, kekalkan biodiversiti dekat Pasir Ris
HDB rancang kejiranan baharu, kekalkan biodiversiti dekat Pasir Ris
Satu kejiranan baharu dengan gabungan rumah awam dan privet akan dibina di sebuah tapak berhutan di sepanjang Pasir Ris Drive 4, memandangkan permintaan perumahan yang tinggi di kawasan tersebut.
Demikian kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 23 November.
HDB mencadangkan untuk memelihara kira-kira 13 hektar kawasan semula jadi sedia ada, termasuk kawasan pesisir dan tumbuh-tumbuhan, susulan satu Penilaian Kesan Sekitaran (EIA) yang meliputi tanah seluas 36 hektar.
Dalam satu hantaran di Facebook, HDB berkata pihaknya turut meneliti tapak alternatif ‘brownfield’ iaitu tapak yang pernah dibangunkan sebelum ini.
Ini termasuk kawasan berhampiran seperti Sekolah Menengah Siglap dan tapak perindustrian seperti di Lorong Halus, bagi merancang pembinaan rumah baharu di kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, tapak-tapak ini telah dirancang untuk penyediaan perumahan pada masa hadapan, diperlukan untuk kegunaan nasional lain, atau tidak dapat disediakan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.
HDB berkata tiada tapak ‘brownfield’ yang boleh menyediakan jumlah rumah yang setanding dengan tapak di Pasir Ris Drive 4 dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Tapak itu telah dikhaskan untuk pembangunan perumahan sejak 1980.
Menurut jurucakap HDB berkata, tapak itu akan memenuhi permintaan perumahan dalam dekad akan datang, dan pembangunan dijangka bermula secara berperingkat dalam beberapa tahun lagi.
Selain EIA, HDB berkata ia telah melibatkan kumpulan alam semula jadi untuk lebih memahami nilai ekologi tapak tersebut dan cara mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Daripada 13 hektar kawasan alam semula jadi sedia ada yang dirancang untuk dikekalkan di bawah pelan konsep guna tanahnya, kira-kira lapan hektar di pesisir pantai terdiri daripada habitat pasang surut, rumput laut dan paya bakau.
Jenis hidupan ini akan dikekalkan bagi melindungi habitat pesisir dan biodiversiti paling penting di tapak tersebut, katanya.
Bersebelahan dengan kawasan itu, sekitar lima hektar tumbuh-tumbuhan akan dikekalkan untuk berfungsi sebagai penampan dari kawasan perumahan tersebut dengan kawasan paya bakau dan sungai sedia ada.
Ia juga akan menjadi habitat persinggahan bagi hidupan liar dan mengekalkan rangkaian ekologi di sepanjang pesisir pantai itu.
Kira-kira satu hektar di tenggara kawasan itu mungkin diperlukan bagi langkah perlindungan pesisir, tetapi tidak akan dibangunkan dalam jangka masa sederhana.
HDB turut merancang pembinaan taman selebar 15 meter di sepanjang Sungei Loyang. \
Kawasan itu akan ditanam dengan pelbagai tumbuhan bagi menyokong kepelbagaian biodiversiti.
Ia akan turut menyediakan ruang hijau di sepanjang sisi-sisi lain tapak tersebut sebagai laluan pejalan kaki bagi penduduk.
HDB berkata pihaknya akan melaksanakan pelan pemantauan dan pengurusan alam sekitar bagi memastikan kerja pembinaan berjalan dengan baik serta mengurangkan kesannya terhadap habitat di sekitar.
“Langkah-langkah ini akan membolehkan kami merancang pembangunan dengan lebih teliti dan peka bagi melindungi kawasan ekologi penting, di samping memenuhi keperluan perumahan rakyat Singapura,” tambah HDB.