Dengan projek pembangunan di Pasir Ris bakal selesai dalam beberapa tahun akan datang, bandar pesisir pantai itu bakal diserikan dengan kehijauan di jalan raya dan laluan pejalan kaki.

Pokok dan tumbuhan renek baharu dalam rona merah jambu, putih, kuning dan ungu – seperti pokok mempat merah jambu yang kadangkala digelar ‘sakura Singapura’ - akan ditanam sepanjang beberapa jalan raya dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, mengumumkan inisiatif penanaman itu pada 15 November semasa satu acara kemasyarakatan.

Langkah tersebut, menurutnya, akan membantu menyerikan Pasir Ris dan prasarananya dengan kehijauan seiring dengan pembangunan bandar itu, agar ia kekal sebagai kediaman yang selesa didiami.

Cik Indranee juga merupakan Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Pasir Ris-Changi dan Menteri Kedua Pembangunan Negara merangkap Kewangan.

Penanaman di tepi jalan ini adalah sebahagian daripada usaha Lembaga Taman Negara (NParks) yang dikenali sebagai laluan alam semula jadi atau nature ways – iaitu laluan yang ditanam dengan pokok dan tumbuhan renek tertentu bagi meniru struktur bertingkat semula jadi hutan.

Laluan alam semula jadi baharu di Pasir Ris itu dijangka meliputi jarak kira-kira 6.3 kilometer apabila siap kelak, tambahan kepada laluan sedia ada sepanjang sekitar 1.7 kilometer di kawasan tersebut. 

Berucap pada satu acara penanaman pokok di Pasir Ris East, Cik Indranee menyatakan bahawa Pasir Ris telah mengalami “agak banyak kerja pembinaan” sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah (tiga dari kanan) di acara penanaman pokok di Pasir Ris Drive 6, pada 15 November.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah (tiga dari kanan) di acara penanaman pokok di Pasir Ris Drive 6, pada 15 November. - Foto ZAOBAO

“Sedang Pasir Ris terus membangun, kita perlu merancang dengan teliti bagi memenuhi pelbagai keperluan kita… Oleh itu, laluan alam semula jadi ini akan dibina secara berperingkat seiring dengan penyiapan pelbagai pembangunan prasarana di Pasir Ris,” tambahnya.

Beberapa pembangunan di kawasan kejiranan tersebut, seperti Pasir Ris Mall dan Pusat Tukaran Bas Pasir Ris baru, telah siap baru-baru ini.

Kerja-kerja bagi projek perumahan dan prasarana akan datang seperti Laluan Rentas Pulau (CRL) pula masih dijalankan.

Cik Indranee menambah bahawa laluan alam semula jadi baru itu akan menambah lebih banyak pokok dan tumbuhan di bandar tersebut, menghubungkan ruang hijau serta menyejukkan jalan raya.

Jalan-jalan menghijau yang bakal diwujudkan ini akan menampilkan rona tersendiri dengan pemilihan tumbuhan khusus bagi setiap jalan.

Jalan di sepanjang Pasir Ris Drive 3 akan dihiasi dengan tumbuhan berbunga merah jambu seperti pokok mempat merah jambu serta bungur (rose of India), selain tumbuhan berbunga putih seperti kemboja dan janda kaya putih (white mussaenda), menurut NParks.

Jalan tersebut terletak lebih dekat dengan pesisir pantai, dan landskap di situ akan mengetengahkan rona merah jambu dan putih berkonsepkan pesisiran pantai, kata NParks.

Sementara itu, laluan alam semula jadi Pasir Ris Drive 1 akan menampilkan tumbuhan berbunga kuning seperti ramat emas (golden bells) dan pohon ivy cat claw, serta tumbuhan berbunga ungu seperti petunia Mexico.

Jalan ini terletak lebih jauh ke dalam, bersebelahan dengan Sungei Tampines dan mempunyai tema yang lebih berunsurkan sungai, tambah NParks.

Tumbuhan di sepanjang Pasir Ris Drive 12 – yang menghubungkan kedua-dua jalan tersebut – akan ditukar secara beransur-ansur daripada tumbuhan berbunga ungu berhampiran Pasir Ris Drive 1 kepada tumbuhan berbunga merah jambu menghala ke Pasir Ris Drive 3, kata NParks.

Selain pokok dan tumbuhan renek berbunga, tumbuhan seperti pokok kayu berduri (giant milkweed) dan gelam tikus (spicate eugenia) akan turut ditanam bagi menarik kehadiran burung seperti kelicap bukit (ornate sunbird) dan rama-rama seperti plain tiger, tambah agensi tersebut.

Penanaman bagi laluan alam semula jadi itu akan bermula di sepanjang Pasir Ris Drive 12 dan Elias Road di Pasir Ris West, sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh bandar berkenaan, kata Cik Indranee.

Beliau menambah bahawa estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di sekitarnya serta pembangunan lain turut akan digalakkan untuk mengguna pakai palet penanaman laluan alam semula jadi tersebut.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti