Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB tawar flat BTO pertama di Simei dalam tempoh 10 tahun

Pengamat: Permintaan dijangka kukuh untuk kebanyakan projek, terutama yang dekat kemudahan, stesen MRT
Feb 11, 2025 | 6:28 PM
Projek BTO di Simei akan mempunyai kira-kira 380 unit dua bilik flexi, flat empat dan lima bilik di atas plot yang dibatasi oleh Simei Road dan Upper Changi Road East.
Projek BTO di Simei akan mempunyai kira-kira 380 unit dua bilik flexi, flat empat dan lima bilik di atas plot yang dibatasi oleh Simei Road dan Upper Changi Road East. - Foto ST

Flat baru di Simei dalam tempoh lebih sedekad serta pembangunan kelompok flat kedua di kejiranan baru, Woodlands North Coast, adalah antara lapan projek Bina Ikut Tempahan (BTO), yang akan mula dijual pada Julai.

Pengamat memberitahu The Straits Times (ST) bahawa mereka jangkakan permintaan kukuh untuk kebanyakan projek ini, terutama yang berdekatan kemudahan dan stesen MRT.

Daripada lapan projek itu, lima terletak dalam jarak 600 meter dari stesen MRT.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), pada 10 Februari, mengeluarkan butiran di laman webnya mengenai projek-projek yang akan dilancarkan pada Julai.

Ia akan menawarkan kira-kira 5,400 flat di Bukit Merah, Bukit Panjang, Clementi, Sembawang, Tampines, Toa Payoh dan Woodlands.

Projek di Simei - yang disenaraikan HDB sebagai sebahagian daripada kejiranan Tampines - akan mempunyai kira-kira 380 unit flat dua bilik flexi, empat dan lima bilik di atas plot tanah yang dibatasi oleh Simei Road dan Upper Changi Road East.

Kedai makan, pasar raya, kedai, restoran dan pusat prasekolah juga akan dibina dalam projek pembangunan ini.

Tapak itu, yang pernah menempatkan bekas sekolah rendah dan menengah Changkat Changi, berjarak lima minit berjalan kaki dari stesen MRT Upper Changi.

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) sebelum ini berkata kawasan Upper Changi Road East, di mana kebanyakan rumah adalah kediaman privet, akan mendapat manfaat daripada adanya perumahan awam baru yang menggalakkan lebih banyak percampuran sosial.

Satu projek 1,130 unit di Woodlands, yang terdiri daripada flat dua bilik flexi, flat tiga, empat dan lima bilik, akan dibina berhampiran stesen MRT Woodlands North.

Ia terletak berhampiran Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Taman Admiralty.

Pembangunan itu bersebelahan dengan projek Woodlands North Verge - yang pertama di kejiranan baru itu - yang dilancarkan pada 10 Februari. Projek itu termasuk dalam kategori Standard.

Kawasan kejiranan Woodlands North Coast, yang dibayangkan sebagai pembangunan pelbagai guna di tepi laut - akan mempunyai 4,000 flat apabila siap.

Kedua-dua projek di Bukit Merah pula mungkin termasuk dalam kategori Prime, memandangkan lokasinya di pinggir pusat bandar, kata penganalisis hartanah.

Kira-kira 490 flat tiga dan empat bilik akan dibina di tapak bekas Pejabat Pos Alexandra. Projek itu juga melibatkan pembinaan pusat prasekolah, kedai makan, pasar raya dan kedai-kedai.

Tapak ini terletak kurang 10 minit daripada stesen MRT Redhill jika berjalan kaki.

Satu lagi projek 590 unit yang terdiri daripada flat dua bilik flexi, tiga dan empat bilik akan dibina di Tanglin Road, bersebelahan dengan Sekolah Perempuan Crescent.

Di Toa Payoh, tapak yang dibatasi Toa Payoh Rise dan Braddell Rise akan menempatkan 720 flat dua bilik flexi, tiga dan empat bilik. Ia adalah kira-kira lima minit berjalan kaki ke stesen MRT Caldecott.

Kira-kira 750 flat dua bilik flexi, tiga dan empat bilik akan dibina di sepanjang Clementi Avenue 9, berhampiran stesen MRT Clementi.

Ia bersebelahan dengan Sekolah Rendah Clementi dan Sekolah Menengah Clementi Town, dan penganalisis menjangkakan ia akan menjadi projek Plus.

Di Sembawang, HDB bersedia melancarkan projek 750 unit yang terdiri daripada flat dua bilik flexi, tiga, empat dan lima bilik serta flat tiga generasi.

Ia akan dibina di sepanjang Admiralty Link dan Admiralty Lane, dan tapak ini terletak kira-kira 1 kilometer dari stesen MRT Sembawang.

Projek 620 unit dengan kedai makan, pasar mini dan kedai akan dibina di sepanjang Bukit Panjang Ring Road dan Taman Semula Jadi Zhenghua.

Ia berhampiran stesen LRT Bangkit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg