Helikopter pejuang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) akan mengambil bahagian dalam pertunjukan dinamik di Padang buat kali pertama pada Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024.
Dua helikopter Apache AH-64D akan tiba di atas bangunan Downtown Core sebelum melakukan serangan simulasi semasa segmen pertunjukan dinamik Pertahanan Mutlak 40 pada NDP, 9 Ogos.
Helikopter itu sebelum ini telah membuat olah gerak sedemikian hanya di NDP yang diadakan di platform terapung Marina Bay – yang kini sudah ditutup.
Di Marina Bay, ia mempunyai laluan yang lebih jelas manakala Padang pula terletak di kawasan yang padat dengan bangunan dan memerlukan laluan berbeza untuk helikopter itu.
Mejar Ingkiriwang Reeve, pegawai perintah Skuadron 120 RSAF dan juruterbang utama Apache, berkata bahawa cabaran utama ialah mereka akan terbang pada paras yang agak rendah dan berdekatan dengan helikopter Chinook yang membawa bendera negara.
“Bangunan tinggi di (kawasan Marina) Bay sudah diambil kira, dari segi profil kami, laluan penerbangan dan parameter pesawat.”
“Kami akan memastikan terdapat jurang vertikal (tegak) dan lateral yang mencukupi di antara kedua-dua pesawat dan juga antara halangan atau bangunan di sekeliling kita,” katanya.
Profil merujuk kepada laluan penerbangan dan rutin pertunjukan buat pesawat yang terlibat.
Sebanyak 14 pesawat akan terlibat dalam sambutan pada hari itu - sebuah pesawat pemunggah C-130 Hercules, empat Apache dan tiga helikopter Chinook, dan enam jet F-16.
Dua peluru berpandu darat ke udara Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), Python-5 dan Derby (Spyder) juga akan mengambil bahagian dalam pertunjukan dinamik, yang akan melibatkan Tentera Laut Republik Singapura dan Palang Merah Singapura dalam segmen darat dan laut.
Komponen udara NDP akan bermula dengan pasukan Red Lions SAF akan melompat dan mendarat di Padang dengan payung terjun semasa segmen pra-perbarisan.
Empat Apache dan dua helikopter Chinook akan mengambil bahagian dalam segmen ‘Kibarkan Bendera Kita’ di seluruh pulau.
Mereka akan dipecahkan kepada dua kumpulan yang terdiri daripada satu Chinook dan dua Apache setiap kumpulan dan akan terbang merentasi timur dan barat Singapura.
Laluan timur akan melalui Seletar, Sengkang, Punggol, Pasir Ris, Bedok dan East Coast, manakala laluan barat akan meliputi Choa Chu Kang, Bukit Batok, Jurong dan West Coast.
Helikopter itu kemudian akan terbang di atas Padang untuk segmen tradisional dengan mengibarkan bendera negara semasa Lagu Kebangsaan.
Semasa helikopter itu merentasi pulau, enam jet pejuang F-16 juga akan membuat ‘Island Flypast’ di mana ia akan terbang di sekitar Singapura yang akan meliputi Clementi, Jurong West, Choa Chu Kang, Bukit Batok, Woodlands, Toa Payoh, Seletar, Punggol dan Bendemeer.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg