Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sorotan pertunjukan NDP papar kepelbagaian warga S’pura

Jun 27, 2024 | 7:39 PM
Segmen pertunjukan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024 akan dibahagikan kepada segmen sebelum perbarisan dan empat babak yang bermula dengan penghormatan kepada perintis Singapura.
Segmen pertunjukan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024 akan dibahagikan kepada segmen sebelum perbarisan dan empat babak yang bermula dengan penghormatan kepada perintis Singapura. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kepelbagaian kisah warga Singapura bakal menjadi paparan utama bagi segmen pertunjukan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024.

Ia akan dipersembahkan secara langsung di Padang oleh seramai 12 artis dan lebih 3,000 peserta daripada pelbagai peringkat usia, bangsa dan keupayaan.

Seramai 450 pelajar dari Pusat Perkhidmatan TOUCH akan turut terlibat, untuk membantu menyemarakkan lagi pertunjukan tersebut, sebagai penggalak penonton.

Menurut satu kenyataan pada 27 Jun, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata segmen tersebut akan menunjukkan semangat kekitaan dan perpaduan rakyat Singapura.

Ia bakal mengikut atur cara yang bermula dengan segmen sebelum perbarisan, yang menyaksikan 593 pelajar dari lima sekolah - Sekolah Rendah Valour, Sekolah Menengah Naval Base, Sekolah Menengah Queensway, Sekolah Menengah Sengkang dan Sekolah Menengah Yuying - bersama tujuh gimnas dari Pusat Latihan Gimnastik Nasional dan 25 pemain luncur dari Swift Skating Academy Singapura berarak di St Andrews Road dan sekitar Padang dengan enam maskot belon Singapura - Sharity Elephant, August the Merlion, Singa the Lion, Captain Green, Becky Bunny dan Nila the Lion.

Penonton akan mengalami suasana seperti karnival semasa segmen pembukaan ini yang menggambarkan tenaga dan kecergasan generasi muda Singapura.

Dalam pada itu, persembahan selanjutnya akan dibahagikan kepada empat babak yang bermula dengan penghormatan kepada perintis Singapura.

Ia kemudian diikuti dengan babak yang menggambarkan perpaduan Singapura melalui warisan makanan.

Penyanyi dan penggubah lagu tempatan, Amni Musfirah Abdul Rashid, diiringi dengan penyanyi dari Music and Drama Company (MDC), akan mempersembahkan gubahan asal bertajuk Hold Up The Sky.

Lagu itu melambangkan perpaduan dalam pembinaan negara, yang diambil daripada pepatah Melayu, ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.

Babak seterusnya mencerminkan Singapura sebagai masyarakat penuh belas kasihan sebelum diakhiri dengan persembahan untuk meraikan sumbangan rakyat Singapura dan pembayangan masa hadapan yang lebih cerah bagi negara kita.

Berkongsi kepada pihak media dalam sesi taklimat pada 27 Jun di T:>Works, Mohamed Sultan Road, Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Danny Poh berkata:

“Untuk penuhi keperluan spektrum masyarakat dan rakyat kita yang luas, persembahan ini akan menggabungkan nostalgia dan kemodenan untuk mencapai keseimbangan antara pengalaman keseronokan deria dan resonan emosi.”

Dengan 12 sepanduk LED tambahan dan empat kiub LED mudah alih bersama skrin LED utama, penonton yang berada di Padang akan menikmati pengalaman 360 darjah yang menampilkan visual dan kesan multimedia yang berwarna-warni.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg