Helikopter RSAF angkut anggota kru kapal ke SGH untuk rawatan
Helikopter RSAF angkut anggota kru kapal ke SGH untuk rawatan
Seorang anak kapal dalam kapal pengangkut pukal yang memerlukan perhatian perubatan segera ketika berada di laut telah dibawa ke hospital menggunakan helikopter penyelamat pada 24 Februari.
Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dalam satu kenyataan di Facebook berkata ia telah menggunakan helikopter, Rescue 10 H225M Medium Lift, pada 4.40 petang itu untuk menyelamatkan anak kapal tersebut.
Anak kapal tersebut kemudian dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) dan dilaporkan berada dalam keadaan sedar dan stabil.
“Kami memuji anggota kru udara RSAF dan karyawan penjagaan kesihatan SGH yang sentiasa bersedia 24 jam untuk menyelamatkan nyawa,” tambah pihak angkatan udara itu.
Dalam satu kejadian berasingan pada awal Februari, RSAF turut mengerahkan helikopter, Rescue 10 H225M Medium Lift, untuk menyelamatkan seorang anggota kru dari sebuah kapal di laut.
RSAF ketika itu memaklumkan bahawa helikopter, Rescue 10, telah diaktifkan ketika tentera udara itu sedang dikerah bagi Pertunjukan Udara Singapura 2026 yang berlangsung dari 3 hingga 8 Februari.
Rescue 10 telah berjaya bertindak balas terhadap tiga pengaktifan sedemikian setakat ini pada 2026, kata jurucakap Kementerian Pertahanan (Mindef).

