Seorang penumpang kapal persiaran yang memerlukan rawatan perubatan segera telah dibawa ke hospital oleh helikopter Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) pada 26 Disember.
Penumpang tersebut dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) untuk menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan sedar serta stabil, menurut RSAF dalam satu catatan Facebook pada 26 Disember.
Sebuah helikopter Rescue 10 jenis H225M Medium Lift dikerahkan untuk operasi menyelamat tersebut, lapor The Straits Times (ST).
“Kami mendoakan pesakit agar cepat sembuh dan melahirkan penghargaan kepada kru RSAF serta petugas kesihatan kami yang sentiasa bersedia 24 jam sehari, tujuh hari seminggu untuk menyelamatkan nyawa,” kata RSAF.
Satu gambar operasi menyelamat itu menunjukkan helikopter berlegar di atas helipad kapal persiaran di laut.
Dalam gambar lain, helikopter tersebut kelihatan mendarat di kawasan berumput, dengan petugas perubatan berada berhampiran sambil bersedia membawa pengusung.
Menurut laman web RSAF, pasukan RSAF mempunyai satu pasukan mencari dan menyelamat 24 jam yang dikenali sebagai Rescue 10, yang diaktifkan untuk memindahkan individu di laut yang memerlukan rawatan perubatan segera ke hospital.
Pada 9 November 2024, unit Rescue 10 menerbangkan seorang anak kapal yang sakit dari sebuah kapal kargo pukal yang berada sekitar 111 kilometer dari pesisir Singapura ke SGH.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg