Siasatan terhadap ancaman bom palsu di Pangkalan Udara Paya Lebar diteruskan: Mindef
Siasatan terhadap ancaman bom palsu di Pangkalan Udara Paya Lebar diteruskan: Mindef
Siasatan sedang dijalankan berhubung satu ancaman bom terhadap Pangkalan Udara Paya Lebar, yang dimuat naik dalam talian dan kemudian disahkan sebagai palsu.
Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan (Mindef), Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dimaklumkan mengenai catatan dalam talian yang mendakwa terdapat ancaman bom di pangkalan udara itu pada 23 Januari.
“Tiada ancaman dikenal pasti,” kata jurucakap itu, sambil menambah langkah berjaga-jaga telah diambil dan pemeriksaan bom dijalankan di pangkalan udara tersebut.
Ancaman bom palsu itu dimuat naik di forum Reddit yang dikhususkan untuk perkhidmatan negara, dengan teks mendakwa bom akan diletupkan di dalam pangkalan udara itu pada masa dan tarikh tertentu.
Tangkap layar kiriman itu yang dilihat oleh The Straits Times, turut menamakan lokasi tertentu dalam pangkalan tentera itu dan menyebut nama komander di sana.
Catatan itu sudah dipadamkan.
Siasatan kini dijalankan, kata Mindef, sambil menambah pelaku ancaman bom palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 268A Kanun Keseksaan - menyampaikan maklumat palsu mengenai perkara yang membahayakan.
Jika sabit kesalahan, seseorang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda sehingga $50,000, atau kedua-duanya sekali.

