Satu hibrid orkid baharu yang menampilkan rona merah jambu, kelihatan seakan-akan bunga sakura, telah dinamakan untuk Puteri Aiko dari Jepun.

Dikenali sebagai Dendrobium Aiko Naishinno Denka, hibrid orkid ini menghasilkan bunga yang tahan lama, dengan sepal dan kelopak berwarna putih serta bahagian bibir bunga berwarna merah jambu.

Orkid ini mempunyai pertalian genetik dengan hibrid orkid yang pernah dinamakan sempena ibu bapa Puteri Aiko.

Beliau menerima jambakan hibrid orkid yang dinamakan sempena nama ibu dan dirinya sendiri semasa menghadiri satu majlis di Taman Orkid Negara pada 19 November.

Puteri Aiko, 24 tahun, berada di Singapura bagi lawatan rasmi lima hari dari 17 hingga 21 November atas jemputan Presiden Tharman Shanmugaratnam dan sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Jepun.

Beliau turut diperkenalkan kepada orkid Dendrobium Naruhito Kotaishi Denka dan Dendrobium Masako Kotaishi Hidenka, yang dinamakan sempena ibu bapanya, Maharaja Naruhito dan Permaisuri Masako, bagi meraikan perkahwinan mereka pada 1993.

Bunga orkid amat dihargai dalam budaya masyarakat Jepun dan sering dijadikan hadiah bagi meraikan majlis perniagaan, pembukaan pejabat korporat dan pelbagai acara yang membawa keberuntungan.

Di Singapura, orkid lazimnya dinamakan sempena tetamu kenamaan asing yang berkunjung ke negara ini sebagai tanda muhibah dan persahabatan.

Sehingga kini, lebih 280 hibrid orkid telah dinamakan sempena tokoh kenamaan, sekali gus mencerminkan keunikan inisiatif diplomatik dua hala yang diambil Singapura.

Selepas menghadiri majlis tersebut, Puteri Aiko bertemu dengan Pemangku Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, di Istana.

Dalam satu hantaran Facebook pada 19 November, Encik Gan berkata beliau teruja untuk bertemu Puteri Aiko, sambil menyifatkan Jepun sebagai “rakan kongsi utama” dalam pembangunan Singapura.

Encik Gan, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata: “Syarikat-syarikat Jepun merupakan antara pelabur terawal kami, yang membantu mewujudkan peluang pekerjaan serta industri-industri baharu.

“Mereka terus memainkan peranan penting dalam ekonomi kita, dengan lebih 5,300 syarikat Jepun beroperasi dalam sektor-sektor seperti pembuatan, kewangan, teknologi, dan runcit. Sebahagian besar daripada syarikat itu kini merupakan nama yang dikenali ramai.

“Kerjasama kami turut merangkumi bidang-bidang seperti teknologi digital, keselamatan, tenaga, ekonomi hijau, serta pertukaran antara rakyat.”

Sehubungan itu, Encik Lee dalam hantaran Facebook pada 19 November berkata beliau dan Puteri Aiko bertukar pandangan mengenai isu-isu yang membelenggu Jepun dan Singapura, termasuk cara menyokong warga emas kekal aktif dan giat bersosial, semasa pertemuan mereka.

“Terdapat banyak ruang untuk pembelajaran dan kerjasama dua hala dalam bidang ini,” katanya.

Kedua-dua negara berdepan isu penduduk yang semakin menua, dengan Singapura dan Jepun kini berdapan masyarakat yang sangat tua atau super-aged.

Menukil laporan tahunan Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) yang terkini, 21.4 peratus atau lebih seperlima warga Singapura berusia 65 tahun dan ke atas pada 2026, manakala hampir 3 dalam 10 (29.6 peratus) warga Jepun berusia 65 tahun dan ke atas, menukil data terkini Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.