Menjaga suami yang sakit, bukan penghalang untuk Cik Kaiyati Ahmad, 67 tahun, menjadi anggota dan sukarelawan aktif di Pusat Penuaan Aktif (AAC) Lions Befrienders (LB).
Beliau bukan sahaja kerap menyertai program-program penuaan aktif yang diadakan di LB AAC @Tampines 494E, malah beliau turut terlibat dalam menganjurkan pelbagai acara di pusat tersebut.
Daripada memimpin kumpulan menjahit hingga membantu menghantar makanan kepada warga emas yang sukar bergerak, Cik Kaiyati ghairah menyertai pelbagai kegiatan di pusat penuaan aktif itu.
“Sebelum AAC ini ditubuhkan, saya hanya menyertai kelas zumba yang diadakan di gelanggang bola keranjang dekat flat saya setiap Rabu. Tetapi, sejak saya aktif di AAC, saya sertai hampir setiap aktiviti yang diadakan, seperti ceramah dan bengkel kesihatan. Sebagai contoh, saya sertai program memukul genderang selama tiga bulan. Jurulatih program itu mengajar kami cara menilai ketangkasan tangan kami,” kata Cik Kaiyati.
Tambah beliau, “Saya gembira dapat turut serta dalam aktiviti-aktiviti AAC sebab dapat kenal jiran-jiran lain yang tinggal di kawasan sini.”
Cik Kaiyati telah menjadi anggota aktif AAC tersebut sejak ia ditubuhkan sekitar tujuh tahun lalu dan berkhidmat sebagai sukarelawan pusat itu selama tiga tahun.
“Nasib baik ada pusat penuaan aktif ini. Kehidupan saya tidak terasa kosong. Saya ada ramai kawan,” kata Cik Kaiyati, nenek enam cucu.
Kata beliau lagi, dengan menyertai aktiviti-aktiviti pusat penuaan itu, ia memperkasanya untuk kekal aktif, menjalin hubungan sosial serta membantunya mempelajari kemahiran baharu, sekali gus menjaga kesihatan dengan meningkatnya usia.
Beliau seringkali menyertai program senaman seperti regangan dan ceramah kesihatan. Ini termasuk ceramah penjagaan anjuran AAC dan juga program luaran seperti Steady Lah! Program penuaan aktif ini kelolaan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB). Ia memaparkan senaman menguatkan otot dan keseimbangan yang progresif bagi memperbaiki fungsi otot.
Penglibatan aktif Cik Kaiyati di pusat ini membolehkannya kekal cergas dan berfikiran positif sedang beliau terus menggalas tanggungjawab menjaga suaminya. Cik Kaiyati tidak menghidap sebarang penyakit kronik, tetapi perlu memastikan tekanan darahnya stabil.
Dalam pada itu, beliau kerap mengikuti bengkel-bengkel seperti bengkel Digital Sepanjang Hayat anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Justeru, Cik Kaiyati mempunyai kemahiran dan pengetahuan digital asas seperti cara menggunakan telefon bijak untuk berhubung, mencari maklumat di dalam talian dan menggunakan aplikasi.
“Sekarang, kita boleh mendaftar untuk semua aktiviti AAC dengan mudah menerusi satu pautan. Tetapi, kadang kala ada warga emas di pusat ini yang tidak tahu caranya dan meminta bantuan saya untuk mengajar mereka. Kadang-kadang ada juga warga emas di sini meminta saya membantu mereka tempah kereta atau teksi menggunakan aplikasi Grab. Saya akan membantu mereka,” kata Cik Kaiyati.
Mengamalkan gaya hidup aktif seperti yang dilakukan Cik Kaiyati sejajar dengan hala tuju program nasional, Sihat Menua SG, yang bertujuan membantu warga emas menua dengan sejahtera di rumah dan dalam sekitaran masyarakat sekeliling mereka.
Inisiatif ini bertujuan menyokong warga emas agar menua secara aktif dan kekal hidup bermasyarakat serta mendapatkan penjagaan dalam lingkungan masyarakat.
Mengulas tentang mengapa beliau berpendapat ia penting untuk kekal aktif, Cik Kaiyati berkata:
“Tidak ada makna jika saya duduk di rumah dan tidak lakukan apa-apa yang bermanfaat. Sejak saya muda lagi, saya suka belajar kemahiran baharu. Lagipun, bukan jauh pusat ini. Bawah blok saya aja. Saya selalu menggalakkan warga emas lain untuk sertai aktiviti di sini. Jika mereka rasa aktiviti itu okay, mereka patut teruskan.”
Cik Kaiyati juga percaya penting untuk beliau bertanggungjawab menjaga kesihatannya sendiri. Justeru, beliau sentiasa mengikuti skim-skim kesihatan terbaru, seperti mengikuti laman Facebook HPB.
Selain itu, beliau bersyukur dapat meraih manfaat daripada kad Generasi Merdeka setiap kali beliau pergi ke poliklinik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
“Saya lebih banyak menggunakan kad Generasi Merdeka untuk membayar bil perubatan bersubsidi jika saya pergi ke klinik swasta,” jelas Cik Kaiyati.
Kad Generasi Merdeka membolehkan warga emas berusia 62 hingga 71 tahun pada 2021 untuk menikmati subsidi-subsidi istimewa di Klinik Doktor Swasta dan klinik gigi di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS). Beliau juga menikmati potongan sebanyak 25% bagi baki bil untuk khidmat bersubsidi dan ubat-ubatan di poliklinik.
Di bawah pakej Generasi Merdeka, Cik Kaiyati telah menerima tokokan Medisave tahunan sebanyak $200 bagi tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2023.
Selain kekal aktif, Cik Kaiyati sentiasa berfikiran positif dan menghadapi sebarang rintangan kehidupan dengan tenang.
“Saya, positif orangnya. Saya tidak suka fikir tentang perkara-perkara negatif. Jika ada orang cakap apa-apa yang negatif, saya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,” kata Cik Kaiyati.
Bagi golongan warga emas seperti Cik Kaiyati yang sedang mengambil pendekatan lebih aktif dalam menghadapi hari tua, menyertai aktiviti dan mengekalkan kehidupan bermasyarakat sangat digalakkan sedang penduduk Singapura kian menua.
Bagi membolehkan warga emas lebih aktif, Pemerintah akan memperluas prasana penjagaan warga emas negara dengan menubuhkan lebih banyak pusat penuaan aktif dan membina lebih banyak prasarana mesra warga emas di kawasan-kawasan kejiranan di seluruh Singapura.
Perancangan tersebut dibuat berdasarkan laporan gerakan Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward yang dikeluarkan November tahun lalu.
Layari laman web, https://go.gov.sg/seniors-age-well-bh untuk mengetahui lebih lanjut tentang membolehkan warga emas sihat menua dan kunjungi salah satu pameran bergerak, Bersama Menuju Kemajuan atau Together for Better, yang diadakan di pelbagai lokasi di merata Singapura bagi memulakan perjalanan penuaan aktif anda.
Kunjungi laman, https://go.gov.sg/roadshow-schedule-bh untuk mencari lokasi pameran bergerak berdekatan anda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg